fbpx

Suasana nyaman inap desa tepi sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suasana damai ini boleh dirasai di inap desa Bukit Wang, Jitra

RUMAH papan dengan deruan air sungai yang menenangkan pasti membawa kita mengimbau kembali suasana tinggal di dalam kawasan kampung bersama keluarga tersayang.

Udara yang segar dengan pemandangan saujana mata memandang mampu merehatkan minda daripada kesibukan di ibu kota.

Seorang anak kelahiran Changlun, Kedah mahu membawa orang ramai untuk menikmati suasana percutian ala kampung begitu di inap desa miliknya yang terletak di Sungai Wang, Jitra.

Menurut Mohd. Sollehhuddin Osman, 57, inap desa berkonsepkan percutian dalam kampung itu pada asalnya dibuka sebagai rumah peribadinya untuk bersantai bersama keluarga.

“Saya membeli tanah yang terletak di Hutan Lipur Bukit Wang untuk membina rumah persendirian bagi saya dan keluarga bersantai di tepi sungai.

“Namun, selepas siap dibina, kami menyedari bahawa setiap kali ada kenderaan memasuki jalan menuju ke Bukit Wang itu, pemilik kenderaan pasti akan memperlahankan kenderaan mereka kerana tertarik melihat rumah berkonsepkan kampung ini.

“Justeru, saya mengambil keputusan untuk menjadikan ia sebagai sebuah inap desa pada 14 September tahun lalu,” ujarnya kepada Horizon.

Tanah seluas kira-kira 1.5 ekar itu dibangunkan menjadi inap desa berkonsepkan kampung yang cukup selesa untuk dihuni pengunjung. 

Selain satu unit rumah kampung, Sollehhuddin turut menyewa satu lagi unit kediaman di situ yang dijadikan sebagai inap desa berkonsepkan dusun.

Beranda besar sesuai untuk aktiviti santai

Jendela yang besar dengan ruang beranda persis di kampung halaman sendiri menjadi tarikan pada kedua-dua inap desa itu yang cukup sesuai dijadikan sebagai lokasi percutian bersama keluarga.

Jelas Sollehhudin, inap desa tersebut dilengkapi dengan perabot dan juga perkakas barbeku yang bebas digunakan pengunjung pada bila-bila masa. 

Bagi pengunjung yang mahu makan di dalam kawasan kampung pula, kedai makan terletak 500 meter dari inap desa tersebut manakala pekan Jitra pula terletak kira-kira lapan kilometer dari inap desa Bukit Wang.

Jelas Sollehhuddin, selain menyediakan ruang penginapan yang selesa di dalam inap desa itu, dia turut menawarkan kelambu yang kepada pengunjung yang mungkin mahu merasai suasana tidur di dalam kelambu.

“Buat pengunjung yang sukakan konsep begitu, kami turut menyediakan kelambu yang boleh digunakan mereka ketika menginap di sini,” katanya.

Bagi menyerlahkan lagi konsep dan suasana kampung di Bukit Wang, Sollehuddin turut meletakkan beberapa unit basikal yang boleh digunakan pengunjung.

“Basikal ini merupakan salah satu tarikan boleh digunakan pengunjung untuk berbasikal dalam kawasan kampung.

“Selain basikal, saya juga meletakkan permainan seperti congkak dan foosball, sesuai buat pengunjung yang mungkin mahu menghabiskan masa di dalam rumah,” katanya. 

Harga bagi kedua-dua inap desa itu adalah RM180 bagi hari biasa dan RM220 bagi hujung minggu.

“Harga bagi kedua-dua unit inap desa ini sama, namun hanya konsepnya sahaja yang berbeza.

“Pengunjung boleh memilih untuk menginap di inap desa berkonsepkan kampung atau pun ala dusun,” katanya yang mengakui menerima tempahan yang banyak biarpun di luar musim cuti sekolah.

Tempahan boleh dibuat menerusi laman web www.homestaybukitwang.com atau menghubungi Sollehhuddin sendiri di talian 011-58509585.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI