fbpx

Tobaki Pink Racing mahu buru gelaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR ATIKAH (tiga dari kiri) bergambar bersama lima pelumba pasukan Tobaki Pink Racing yang menggalas cabaran bersaing pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia pada musim ini. – MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

SELEPAS memulakan aksi penuh cemerlang pada tahun pertama pada saingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia musim lalu, pasukan Pink Racing Team terus mengorak langkah dalam usaha mereka berkembang maju dalam arena sukan permotoran negara.

Menariknya, satu-satunya pasukan bersaing pada Cub Prix yang dikendalikan oleh prinsipal wanita, Nur Atikah Azwar akan diperkuatkan dengan kehadiran rakan penaja baharu iaitu Tobaki pada musim ini.

Tobaki merupakan syarikat jenama alat ganti milik tempatan, AFTA Motor Sdn. Bhd. dan akan menjadi ‘penaja utama’ musim ini, sekali gus tampil pada saingan Cub Prix dengan nama baharu iaitu Tobaki Pink Racing Team (TPRT).

Nur Atikah percaya kehadi­ran Tobaki selaku penaja utama bakal melonjakkan semangat pasukannya untuk pergi lebih jauh, sekali gus memasang im­pian untuk memburu gelaran keseluruhan pada musim 2022.

“Walaupun kami masih baharu, tetapi kami yakin bahawa istilah ‘percaya kepada proses’ itu akan membantu mematangkan pasukan. Harus berani meletakkan sasaran dan kami sentiasa bekerja keras untuk memperbaiki segala kelemahan yang dikenal pasti pada musim lalu.

“Insya-Allah jika semuanya berjalan seperti yang dirancang, saya yakin pasukan kami mampu memberi cabaran besar terutama pada saingan kelas CP125.

“Pasukan kami telah menun­jukkan keputusan terbaik pada musim lalu dalam kategori CP125 dan yakin itu bukan satu misi mustahil untuk memburu gela­ran keseluruhan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pasukan, Penajaan dan Pelumba Tobaki Pink Ra­cing Team di Hotel Hilton, Petaling Jaya semalam.

Hadir sama Pengarah Urusan dan Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd., Mohamad Azlan Jaafar; Pengarang Kosmo! dan Kosmo! Ahad, Wan Hasnan Wan Hasan; Pengarah Afta Motors Spare Parts, Blanco Choo.

Sementara itu, Mohd. Azlan memberitahu, syarikat Media Mulia Sdn. Bhd. menerusi akhbar Kosmo! menjalinkan kerjasama dengan Pink Racing kerana percaya kepada semangat inginkan kemenangan yang ada pada pasukan generasi muda diterajui oleh Nur Atikah.

“Menjadi satu kebanggaan buat kami di Kosmo! apabila diberi peluang menjalinkan kerjasama dengan Pink Racing sebagai salah satu penaja pasukan tersebut pada tahun ini,” kata Mohd. Azlan.

Sebagai rekod, pada penampilan sulung Pink Racing Team pada saingan Cub Prix nyata tidak menghampakan kerana pasukan yang dimiliki sepenuh­nya seorang wanita itu tampil dengan pelbagai kejutan.

Sebanyak tiga podium berjaya dicapai Pink Racing pada musim 2021 menerusi Harith Farhan Baharin dalam kelas CP125 dan ia pencapaian luar biasa bagi pasukan baharu yang masih mentah.

Bagi menghadapi saingan musim 2022, TPRT memberi kepercayaan kepada Harith dan Saiful Azhary Mohamad untuk menggalas cabaran dalam kate­gori CP125.

Sementara itu, dalam kategori Wira pula, TPRT bakal diterajui muka baharu Danny Mikhail, 16, Muhammad Irfan Danish (14) dan seorang pelumba wanita berusia 17 tahun, Nur Dini Uzma.

“Saya meletakkan kepercayaan kepada Harith untuk memburu kejuaraan keseluruhan musim ini. Pastinya bukan misi mustahil dan Saiful pula mampu melakukan kejutan ke­rana musim lalu dia juga dilihat mampu menaiki podium.

“Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penaja-penaja baharu dan Kosmo! yang bersama kami sejak tahun lalu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI