PUTRAJAYA – Seorang pegawai penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) awal pagi tadi selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti perlombongan matawang kripto.
Sumber berkata, tangkapan ke atas pegawai berusia 34 tahun yang bertugas di Perak adalah susulan soal siasat ke atas seorang taikun yang mengawal 500 premis perlombongan bitcoin di seluruh negara.
“Pegawai itu ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai melindungi pusat-pusat perlombongan bitcoin di Perak dengan bayaran RM12,000 sebulan, malah dia juga disyaki memiliki sebuah pusat melombong bitcoin yang mencuri elektrik.
“Pegawai itu dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pagi tadi dan dibenarkan direman selama lima hari sehingga 7 Mac ini di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah,” katanya hari ini.
Menurut sumber itu, hasil soal siasat turut mendedahkan wujud kegiatan pemilikan pusat-pusat perlombongan bitcoin dalam kalangan pegawai tinggi agensi penguat kuasa, namun pusat-pusat itu dijalankan oleh ahli sindiket bagi pihak pegawai terbabit.
“Siasatan masih berjalan dan kita sedang mengenal pasti pihak yang terlibat, namun SPRM tidak menolak bahawa akan ada lagi tangkapan berhubung perkara ini selepas ini.
“Siasatan berhubung kes itu dijalankan mengikut Seksyen 16 dan seksyen 17 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.
Dalam pada itu, sumber itu memberitahu, seorang lagi suspek berusia 33 tahun yang juga pemilik syarikat turut direman selama empat hari sehingga 6 Mac ini di Kuala Lumpur berhubung kes sama.
Difahamkan, sejak 2019 sehingga tahun lalu, pemilik syarikat, pemilik kilang dan pemilik restoran telah menawar serta memberikan wang suapan berjumlah RM3,000 hingga RM66,000 kepada pegawai penguat kuasa.
Suapan itu sebagai balasan kepada pegawai terbabit untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan mencuri elektrik dan menyalurkan maklumat berkaitan operasi yang dilakukan agensi berkenaan. -KOSMO! ONLINE














