fbpx

John Cena yang luar biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELAIN dipadukan dengan naratif skrip luar biasa, setiap episod Peacemaker dijayakan dengan suntikan elemen lelucon dan dialog bersahaja.

BERSTATUS karya spin-off daripada naskhah Suicide Squad yang diluncurkan tahun lalu, siri Peacemaker meneruskan kecemerlangan dengan kualiti dan signifikan tersendiri.

Apa yang menarik dan hebatnya tentang siri diadaptasi daripada komik DC siaran HBO Max tersebut, pelakon utamanya, John Cena membuktikan dirinya bukan sekadar mantan ahli gustri WWE berbadan sasa, namun pemilik nama lengkap John Felix Anthony Cena itu sememangnya seorang aktor luar biasa.

Penulis sudah tamat menonton lapan episod siri berkenaan baru-baru ini. Sesungguhnya, kenyataan yang ditekankan pada perenggan kedua bukan omong kosong.

Menerusi karakter Christopher Smith atau Peacemaker, Cena selayaknya disimpulkan sebagai berganda lebih bagus berbanding rakan seperjuangannya seperti Dwayne Johnson atau The Rock dan Dave Bautista.

WATAK Peacemaker dan Vigilante, dua karakter yang mencuri tumpuan dalam spin-off filem Suicide Squad.

‘Lulusan’ WWE

Menerusi karakter Peacemaker, karisma, penghayatan emosi dan kualiti lelucon yang dihadirkan oleh Cena sangat tinggi.

Sukar untuk menggambarkan betapa berkesan dan semula jadinya kualiti lakonan Cena, namun apa yang boleh disimpulkan, Cena seorang pelakon underrated yang wajar diberi perhatian sama seperti seperti The Rock mahupun Bautista.

Cetusan kimia antara watak Peacemaker dengan karakter lain seperti Adebayo, Vigilante dan Harcourt sangat memberi impak tersendiri.

Sampai satu tahap, terasa seperti tidak percaya bahawa dalam diri seorang bintang bernama Cena, terkandung kualiti hebat sebagaimana dipersembahkan dalam siri berkenaan.

Secara peribadi, usai menoktahkan kelapan-lapan episod musim pertama, penulis tersenyum tanda berpuas hati kerana Cena berjaya memberikan markah A+ menerusi terjemahan karakter sebagai Peacemaker.

Bangga, marah, terhibur, seronok, sedih, puas hati dengan segala aksi, drama dan emosi serta segala asbab penuh impak dan semua itu membuktikan betapa berhasilnya realiti penghasilan Peacemaker.

Sudah tentu, kalau karakter Peacemaker ‘jatuh’ ke tangan pelakon yang salah, semua perihal yang disebutkan itu tidak akan terzahir dengan cemerlang.

Untuk itu, ternyata Cena seorang individu yang paling tepat membawakan karakter cukup popular dalam komik DC berkenaan.

Keduanya, selain hal teknikal seperti sinematografi, bunyi, lagu tema dan teknik janaan komputer (CGI) yang luar biasa, Peacemaker juga ditangani pengarah paling tepat iaitu James Gunn.

John Cena membuktikan kredibiliti dirinya sebagai seorang pelakon menerusi karakter Peacemaker.

Pengarah bijak

Kalau sesuatu bentuk lukisan tidak diwarnakan oleh individu yang tepat meskipun mempunyai gambaran menarik, apalah maknanya. Itulah yang dibuktikan Gunn sebagai sutradara.

Gunn bijak bermain dengan emosi, rasa ingin tahu, elemen lelucon ‘moden’ dan deras naratif siri.

Sejujurnya, tiada satu pun episod yang mengecewakan dalam siri ini yang baru memasuki musim pertama. Semuanya dicoret dan dijayakan dengan cukup rasa dan menyeronokkan.

Sekali lagi, buat penulis, menonton Peacemaker umpama terjemahan rasa hati dengan penuh kejujuran yang membuatkan setiap apa yang ditonjolkan atau dipamerkan hadir sendiri daripada gejolak jiwa sendiri yang penuh dengan letupan emosi atau perasaan.

Biarpun dihasilkan dalam format karya televisyen, Peacemaker dilihat jujur dan mempunyai DNA semula jadi. Itu bermakna, hasil tulisan idea Gunn sememangnya berkualiti dan berkesan.

Disebabkan Peacemaker jugalah, barangkali sesiapa yang sudah menonton akan lebih menghargai semangat setiakawan.

Itulah yang dipamerkan pasukan misteri, A.R.G.U.S yang bermati-matian menggagalkan misi Project Butterfly.

Secara keseluruhan, kalau sesiapa yang belum berkesempatan menonton Peacemaker, kalian sedang ketinggalan satu lagi nikmat sinematik global.

Sangat berkualiti sehingga membuatkan penulis alpa tentang segala hype dicetuskan karya-karya Marvel masa kini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI