LONDON – Britain bakal mewujudkan undang-undang yang mewajibkan pemilikan lesen bagi proses suntikan botox dan pengisi bibir (lip filler), lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Ini merupakan salah satu rancangan baharu untuk melindungi orang ramai daripada prosedur kosmetik yang gagal.
Setiausaha Negara bagi Kesihatan dan Penjagaan Sosial, Sajid Javid telah menggariskan komitmennya untuk menjadikan prosedur bukan pembedahan tanpa lesen sebagai satu kesalahan.
Jabatan Kesihatan berkata, pindaan kepada Rang Undang-Undang Kesihatan dan Penjagaan yang dibentangkan kelmarin akan memberi kuasa kepada setiausaha kesihatan untuk memperkenalkan lesen bagi prosedur tersebut.
Skim itu bertujuan membawa piawaian konsisten yang perlu dipatuhi oleh mereka yang menjalankan prosedur kosmetik bukan pembedahan.
Suntikan botox sering digunakan untuk mengurangkan kedutan pada muka manakala pengisi bibir digunakan oleh orang yang ingin bibir mereka kelihatan lebih mungil.
“Saya komited untuk melindungi keselamatan pesakit dengan menjadikannya satu kesalahan bagi seseorang untuk melakukan prosedur kosmetik ini tanpa lesen,’’ kata Javid. – Agensi














