KUALA LUMPUR – Seramai 8,570 mangsa banjir yang melibatkan warga institut pengajian tinggi (IPT) yang terdiri daripada 7,264 pelajar dan 1,306 kakitangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mendapat bantuan yang sewajarya.
Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, KPT telah mengambil beberapa tindakan awal bagi memantau dan menyelaras penyaluran bantuan kepada warga IPT yang terlibat.
“Antara usaha yang telah diambil adalah untuk mengaktifkan Bilik Gerakan KPT. Malah, KPT juga menyeru dan memastikan pihak Universiti Awam (UA) turut mengaktifkan Bilik Gerakan dan talian hotline di universiti masing-masing.
“Secara umumnya, operasi bantuan banjir KPT melibatkan tujuh negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Pahang, Johor dan Sabah dengan kira-kira 76 buah daerah disantuni termasuk dua daerah angkat yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan kepada KPT iaitu Kuala Langat di Selangor dan Temerloh di Pahang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN-Baling) yang ingin tahu apakah inisiatif dan bantuan Kementerian untuk membantu mahasiswa dan mahasiswi golongan B40 yang terkesan dengan musibah banjir baru-baru ini. -KOSMO! ONLINE














