fbpx

40,743 OKU Pendengaran berdaftar di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

SERDANG – Terdapat seramai 40,743 orang kurang upaya (OKU) Pendengaran terdiri daripada dewasa dan kanak-kanak di Malaysia yang berdaftar sehingga 31 Disember 2021.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, statistik OKU Pendengaran itu namun lebih rendah berbanding tinjauan yang dilakukan sebelum ini.

“OKU di Malaysia dilindungi di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008 termasuklah OKU Pendengaran. Mereka berhak menerima pengesanan awal ketidakupayaan, intervensi bersesuaian serta rawatan rehabilitasi bagi mencegah ketidakupayaan.

“Saya menyeru individu bermasalah pendengaran untuk mendaftar atau didaftarkan oleh ahli keluarga atau jiran serta rakan-rakan bagi memastikan mereka mendapat hak dan peluang yang sama dalam kalangan masyarakat,” katanya pada Majlis Pelancaran Hari Pendengaran Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Khairy Jamaluddin berkata, bagi mendokong Akta OKU 2008, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah mengenal pasti masalah pendengaran di awal usia melalui Program Saringan Pendengaran Neonatal (Universal Newborn Hearing Screening-UNHS).

Menurut beliau, sehingga kini, terdapat 44 buah hospital KKM menjalankan program itu dan melalui program saringan itu didapati insiden masalah pendengaran jenis kekal adalah 4 bagi setiap 1,000 bayi yang disaring.

Bagaimanapun, katanya, jumlah bayi yang disaring pendengaran pada masa ini adalah 62 peratus sahaja daripada kadar kelahiran hidup dan peratusan jtu perlu ditambah baik bagi mencapai standard ditetapkan iaitu pada kadar 95 peratus dan ke atas.

“Ini adalah penting kerana masalah hilang upaya pendengaran dalam kalangan bayi dan kanak-kanak adalah ‘hidden disability’ dan kegagalan pengesanan awal memberi impak ketara terhadap masa depan mereka.

“Oleh itu saya berharap kita dapat memperluaskan lagi program ini dan saya mahukan agar “Universal Hearing Screening” bagi bayi yang dilahirkan di Malaysia dijadikan salah satu agenda kesihatan kebangsaan pada masa akan datang,” katanya.

Tambahnya, beliau mahu program National Ear and Hearing Care (NEHC) sedia ada diangkat sebagai sebuah Jawatankuasa Khas di bawah Bahagian Perkembangan Perubatan untuk melaksanakan perancangan strategik, penyelarasan dan pemantauan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI