fbpx

Malaysia siap sedia aksi separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARFAH (tengah) berjaya meledak satu gol buat skuad negara ketika bangkit membenam Iran 4-2 semalam. - MHC

PETALING JAYA – Ketua jurulatih skuad hoki dalam dewan wanita negara, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi berbangga dengan kebangkitan anak-anak buahnya untuk menempah tiket ke separuh akhir Piala Asia Hoki Dalam Dewan malam ini.

Kejayaan itu hadir selepas skuad negara bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk menewaskan Iran 4-2 dalam aksi terakhir Kumpulan A di Kampus Universiti Sukan Kebangsaan Thailand (TNSU), Chonburi semalam.

Kemenangan itu mengesahkan kedudukan skuad negara sebagai dua pasukan terbaik Kumpulan A dan bakal menanti sama ada Thailand atau Indonesia di peringkat separuh akhir pada aksi yang akan berlangsung 9.15 malam ini.

“Syukur Alhamdulillah kami meraih kemenangan pada perlawanan yang penting iaitu menentang Iran.

“Pemain tidak berputus asa walaupun ketinggalan dan bermain mati-matian untuk bangkit mencari kemenangan. Pujian harus diberikan kepada seluruh pemain dan pasukan kerana mereka bermain  mengikut perancangan yang ditetapkan barisan kejurulatihan.

“⁠Untuk aksi separuh akhir, kami akan menganalisis pasukan lawan. Siapa pun lawan kami antara Thailand atau Indonesia, kami akan bersedia sepenuhnya,” kata Rodzhanizam.

Skuad negara terlebih dahulu ketinggalan menerusi jaringan Ziba Yahyavi pada minit kesembilan sebelum bangkit menyamakan kedudukan menerusi Raja Norsharina Raja Shahbuddin tiga minit kemudian.

Kazakhstan kemudiannya kembali mendahului melalui Pania Abbasi pada minti ke-18, namun penyerang skuad negara, Siti Nur Arfah Mohd. Nor mengikat kedudukan empat minit kemudian.

Ia sekali gus menyemarakkan semangat barisan pemain negara yang menambah dua lagi gol dalam tempoh seminit menerusi Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun dan Juliani Mohamad Din masing-masing pada minit ke-24 serta 25.

Sebagai rekod, skuad negara perlu menjadi juara kejohanan memandangkan ia merupakan satu-satunya syarat untuk melayakkan diri ke saingan Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2025 di Porec, Croatia pada Februari tahun depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI