fbpx

‘Bina jejantas lintas rel kereta api’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEBERAPA orang pelajar terpaksa mengikut laluan jauh sebelum melintas landasan kereta api di Kampung Paya Sok, Temerloh untuk ke SK Kuala Mai minggu lalu.

TEMERLOH – Pembinaan palang besi yang menghalang orang ramai melintasi jalan kereta api yang menjadi laluan utama mereka sejak sebelum merdeka di Kampung Paya Sok di sini, menyulitkan 3,000 penduduk di kampung berkenaan serta kampung berhampiran.

Pembinaan palang besi sejak seminggu lalu itu oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu menyebabkan penduduk sukar untuk ke pekan Kuala Krau dan Jerantut.

Penduduk juga mengeluh apabila sukar menghantar anak-anak ke sekolah kerana terpaksa menggunakan jalan yang jauh iaitu kira-kira 12 kilometer.

Tindakan meletakkan palang besi di laluan utama itu menyebabkan penduduk mengambil risiko menaiki motosikal menyelusuri tepi laluan kereta api dan melintas di kawasan lain bagi menghantar anak ke sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pem­bangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Paya Sok, Ahmad Abu Bakar berkata, pihaknya kecewa dengan pembinaan palang besi itu sejak seminggu lalu sehingga menyukarkan penduduk keluar masuk ke kampung di situ.

Beliau berkata, sepatutnya pihak berkenaan bertimbang rasa dengan penduduk yang terbeban dan membina jejantas atau te­rowong di laluan yang menjadi jalan utama itu.

“Bukan baru kami menggunakan laluan lintasan kereta api ini tetapi sejak 1954 lagi. Laluan ini digunakan orang-orang tua dan penduduk yang mula membuka kampung ini.

“Lintasan di sini antara laluan asal murid ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Mai, malah penduduk sudah selesa apabila jalan dari kampung berdekatan lintasan ini sudah diturap tar di bawah projek Kementerian Pembangunan Luar bandar (KPLB) beberapa tahun lalu,” katanya di sini semalam.

LALUAN seperti jejantas atau terowong perlu dibina untuk penduduk Kampung Paya Sok bagi menjamin keselamatan mereka yang terpaksa melintasi rel kereta api bagi aktiviti harian.

Katanya, pembinaan palang besi di lintasan itu bukan sahaja menyukarkan penduduk keluar masuk ke bandar, malah dikhua­tiri meresahkan kira-kira 3,000 penduduk Kampung Paya Sok dan kampung berhampiran sekiranya berlaku kecemasan.

Seorang peniaga, Mohd. Azizi Ayub, 43, berkata, dia berhadapan masalah untuk mengangkut barang perniagaan setelah pembinaan palang besi itu.

“Kita berharap pihak berwajib berunding dengan pengurusan KTMB Wilayah Timur untuk penyelesaian terbaik dengan membuka semula palang besi ini untuk keselesaan penduduk.

“Saya sendiri faham kemungkinan KTMB mahu menjaga ke­selamatan penduduk tetapi pihak JPKK dan penduduk juga cakna dengan keselamatan sewaktu melintas,” katanya.

Sementara itu, seorang pesara tentera, Mat Isa Mohamed, 44, berkata, JPKK sudah lama membuat permohonan untuk pembinaan jejantas atau terowong bagi kemudahan penduduk.

“Saya berharap pihak ber­kenaan mendengar rayuan penduduk di sini supaya bertindak segera dengan membina jejantas atau terowong di kawasan ber­kenaan.

“Sudah 68 tahun kampung ini dibuka dan bagi kami kemudahan seperti ini sewajarnya diutamakan oleh kerajaan sekali gus boleh mencongak peluang dan keselesaan penduduk menerusi aktiviti ekonomi dan sosial,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI