fbpx
Tengku Zafrul (tengah) melakukan gimik pelancaran produk-produk baharu serta imej LHDNM pada Majlis Sambutan Hari Hasil 2022 di Menara Hasil Cyberjaya hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA PEMBERITA : AMREE AHMAD (KOSMO)

LHDN lancar 4 produk baharu sempena Hari Hasil 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terus melakar sejarah tersendiri apabila melancarkan empat lagi produk baharu atas talian bagi memudahkan pengguna di negara ini.

Tambahan tersebut sekali gus melengkapkan usaha transformasi agensi itu yang sebelum ini sudah pun mempunyai sejumlah 28 pautan perkhidmatan atas talian dan enam aplikasi digital.

Uniknya, produk baharu itu dilancarkan pada sambutan Hari Hasil 2022 bersempena dengan ulang tahun ke-26 pengkorporatan LHDN di ibu pejabatnya di Menara Hasil, di sini hari ini.

Majlis yang penuh bersejarah berkenaan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang diwakili Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Produk baharu tersebut merangkumi portal rasmi LHDN menerusi www.hasil.gov.my yang boleh diakses bermula pada hari ini dengan paparan lebih mesra pelanggan, dinamik dan kemas.

Ia juga dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan dan teknologi terkini yang sukar untuk digodam selain paparan muka lebih moden dan berkonsepkan minimalis untuk pencarian lebih mudah.

Sementara produk kedua pula ialah laman DuitNow dengan kerjasama CIMB Bank Berhad sebagai medium kaedah pembayaran balik lebihan cukai individu secara elektronik sepenuhnya.

Pemindahan dana yang diuruskan oleh firma PayNet itu menggantikan kaedah pindahan terus dalam sistem perbankan ‘online’ dengan hanya daftar menggunakan nombor kad pengenalan.

Produk ketiga pula ialah Rangka Kerja Tadbir Urus Korporat Percukaian kepada pembayar cukai untuk mengekalkan hubungan kerja yang lebih terbuka dan proses pematuhan amat efektif.

Ia membolehkan organisasi melaporkan dan melakukan pembayaran cukai yang betul dan adil sekali gus meningkatkan keyakinan pembayar terhadap kredibiliti LHDN selaku pentadbir.

Terakhir pula ialah platform HasiLearn yang merupakan sistem e-pembelajaran dengan wadah sokongan rangka kerja terkini dibangunkan sesuai perubahan teknologi dan situasi wabak. – KOSMO! ONLINE

POPULAR