fbpx

Bayang-Bayang sandaran Abjad Aksara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DIANGGOTAI empat anak muda (dari kiri), Sairul, Adam, Hazrel dan Ekmal. Abjad Aksara kini menjadi keluarga baharu yang bernaung bawah edaran Luncai Emas.

PERNAH menggelarkan diri sebagai Papastathopulous, empat anak muda diwakili Adam Harris selaku vokalis merangkap pemain gitar, Sairul (gitar), Ekmal (dram), dan Arel (gitar bass) kini serius menjenamakan perjalanan muzik mereka dengan jenama baharu, Abjad Aksara.

Menurut Adam, penghasilan karya muzik Abjad pada 2022 disertakan dengan niat yang lebih teliti dan komitmen tinggi seiring jenama baharu membawa genre rock alternatif, secocok dengan gaya penulisan genre fluid mereka selama berkarya.

Sebagai permulaan langkah, Abjad yang kini dalam proses pembikinan album muncul dengan single berjudul Bayang-Bayang.

“Kisah dalam lagu Bayang-Bayang merupakan tafsiran kami tentang bagaimana sekiranya irama dan nada lagu tersebut dapat dizahirkan dalam bentuk perkataan.

“Bila dewasa, kita perlu sedar bahawa dengan adanya kemahuan yang amat luar biasa dapat kita meninggalkan tabiat lama kita.

“Ibarat dicampak ke dalam sebuah pemikiran yang gelisah dan janggal, begitulah para pendengar akan rasa apabila dihidangkan dengan dengungan gitar yang tegang pada awal permulaan lagu Bayang-Bayang. Perasaan yang timbul inilah yang dicari Abjad Aksara, atau singkatannya Abjad buat pendengar trek ini,” kata Adam.

Secara kolektif, keempat-empat anggota Abjad Aksara bersetuju Bayang-Bayang’ merupakan pemacu kepada musikaliti Abjad.

Bertindak sebagai pengenalan dan pendahulu bunyian Abjad untuk lagu-lagu rakaman yang lain (dan akan datang) kepada para pendengar, pembikinan Bayang-Bayang telah berjaya buka ruang kepada Abjad untuk bereksplorasi dan mencari haluan identiti bunyi yang diinginkan.

KUMPULAN Abjad Aksara tidak menyangka untuk bekerjasama dengan pihak Luncai Emas bagi pengedaran dan penerbitan karya kumpulan baharu seperti mereka.

‘’Kami juga berasa amat teruja dalam masa yang sama bersifat teliti sewaktu proses pembuatan lagu Bayang-Bayang dari awal sehinggalah ke proses pemilihan adunan muzik.

“Tidak dinafikan, hasil daripada proses tersebut juga membuatkan kami amat berbangga dengan penghasilan lagu ini. Sebab itulah kami memilih Bayang-Bayang sebagai debut pengenalan.

“Lagu ini ini kami tulis bersama pada 2017. Walaupun mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan, ternyata pelaburan masa yang berkualiti mendatangkan hasil yang memuaskan untuk komposisi pembuatan lagu Bayang-Bayang yang secara teliti dan menyeluruh,” tambah Adam mewakili Abjad.

Bercakap tentang penghasilan material bawah terbitan Luncai Emas tersebut, Abjad tidak menyangka untuk bekerjasama dengan pihak Luncai Emas bagi pengedaran dan penerbitan karya kumpulan baharu seperti mereka.

‘’Kami melihat kolaborasi bersama Luncai Emas selaku pengedar dan penerbitan rasmi kepada Bayang-Bayang merupakan satu peluang utama untuk kami pasarkan lagu ini khusus buat para pendengar yang betul-betul inginkan karya muzik yang berkualiti dan berwawasan.

“Semuanya bermula daripada peminat pertama lagu Bayang-Bayang itu sendiri, iaitu produser kami, saudara Mokhtarizal daripada IseekMusic Studio.

“Ketika kami masih mencari pengedar rasmi untuk pemasaran lagu Bayang-Bayang, beliau sendiri mencadangkan kepada kami mencuba memasarkan lagu ini menerusi edaran pihak Luncai Emas setelah beliau melihat akan potensi dan kekuatan yang ada pada lagu ini,” katanya.

Pelancaran single Bayang-Bayang disertai dengan sebuah video yang mendapat sentuhan Azriq Anwar dan telah dilancarkan dalam saluran YouTube Luncai Emas pada 16 Februari lalu.

Kesemua material Abjad dirakamkan di Iseekmusic Studio oleh jurutera audio veteran scene tempatan iaitu saudara Mokhtarizal dan Luncai Emas Sdn. Bhd. bertindak sebagai pengedar dan penerbit rasmi.

Harapan Abjad, album studio penuh mereka dapat dilancarkan sekitar hujung tahun 2022 .

Selain dari album, mereka juga ingin merealisasikan jelajah mempromosikan karya muzik secara live kepada para pendengar dengan lebih dekat dan intimasi. Sebagai pemuzik, Abjad sangat berharap nukilan karya mereka dapat dikongsikan dan diterima baik kepada semua peminat muzik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI