ADAT berniaga pasti ada pasang surutnya, kadang-kadang laris, kadang-kadang kurang untung.
Kisah usahawan yang diuji dengan ilmu hitam oleh pihak yang mempunyai perasaan hasad dengki pihak pesaing sering didengari dalam masyarakat kita.
Apabila seseorang usahawan berjaya mencetak keuntungan hingga berpuluh ribu ringgit, sudah pasti pesaing di kawasan yang sama berasa bimbang akan gulung tikar.
Panorama baru-baru ini menemui seorang bekas usahawan pakaian dari Banting, Azman Shah Bakaruddin, 50, yang sudah serik untuk berniaga pakaian kerana diganggu hidupnya dengan pelbagai perkara mistik yang memberi kesan kepada kesihatan dirinya.
“Saya reda dengan segala ketentuan Allah dan menganggap peristiwa diuji dengan perkara mistik selepas memulakan perniagaan pakaian sebagai sebahagian liku-liku kehidupan.
“Segalanya bermula dengan baik semasa saya mula membuka perniagaan pakaian di sebuah bandar di Lembah Klang. Pakaian yang saya bawa dari Vietnam laris seperti pisang goreng panas,” katanya ketika ditemui di pekan Banting.
Azman Shah yang pernah bekerja sebagai pegawai kerajaan berkata, bisnes pakaian memerlukan usahawan mendapatkan stok pakaian dengan fesyen terkini dan ia memerlukan komitmen yang tinggi hingga membawanya ke luar negara.
Katanya lagi, pada peringkat awal, dia dan rakan peniaga pakaian di kawasan sama sering bertukar pandangan berhubung fesyen dan selera pengguna sambil lepak di restoran mamak.
“Namun selepas masuk tahun kedua, hubungan sesama usahawan menjadi renggang setelah kedai saya sering menjadi tumpuan ramai.
“Walaupun saya seorang lelaki, kita perlu bijak melayan pelanggan. Perkara tersebut juga saya sering katakan kepada dua pekerja saya,” katanya.
Namun langit tidak selalu cerah, ceritanya lagi, rakan usahawan di kawasan tersebut menuduh saya mensabotaj perniagaan mereka.
Sedangkan katanya lagi, perkara tersebut tidak berlaku dan semuanya bersifat fitnah.
“Mereka menuduh saya memakai susuk dan pelaris untuk maju dalam perniagaan.
“Lebih teruk saya dituduh memfitnah rakan-rakan menjual dengan harga mahal produk dari negara jiran. Maka bermulalah episod hitam dalam perniagaan saya,” katanya.
Azman Shah yang masih bujang berkata, semasa peristiwa tersebut berlaku, setiap hari apabila pulang dari kedai, suhu badannya mula meningkat dan kepalanya seakan dihempap batu yang berat.
“Kadang-kadang apabila ‘serangan’ tersebut berlaku, saya akan tertidur di sofa sehingga saya terjaga semula tepat pukul 3 pagi.
“Saya turut merasakan diperhatikan oleh satu bayangan hitam di pintu rumah. Keadaan tersebut menyebabkan prestasi kerjaya saya merosot,” ujarnya.
Pada peringkat awal gangguan-gangguan misteri berlaku, jelas Azman Shah, dia telah bertemu doktor yang membuat diagnosis dirinya menghidap tekanan darah rendah dan stres melampau.
Episod hitam itu katanya, menyebabkan ibu bapa Azman Shah menyuruh dia tinggal dengan mereka buat sementara waktu.
Untuk beberapa waktu jelasnya, gangguan tidak berlaku di rumah tetapi melibatkan kedainya pula.
“Pagi-pagi kakitangan saya terpaksa menyapu serbuk tanah merah di depan pintu kedai. Ada yang mengatakan tanah kubur.
“Saya begitu tertekan dengan keadaan tersebut hingga tidur pun mengigau dan meracau. Ibu bapa dan adik-beradik juga bimbang dan menasihatkan saya berjumpa ustaz yang pandai berubat.
“Setelah berubat dengan seorang ustaz untuk beberapa bulan keadaan saya pulih. Saya pun sudah pulang ke rumah sendiri,” katanya.
Azman Shah memberitahu, sekali lagi gangguan tersebut berlaku dan kali ini gangguan tersebut lebih hebat.
Bayangan hitam sebelum ini katanya, akhirnya menunjukkan rupanya iaitu wanita berambut panjang hingga ke pinggang, berpakaian putih tetapi tidak berwajah.
Gangguan makhluk menakutkan tersebut menyebabkan tubuhnya longlai dan dia pengsan sebelum ditemui ibu bapanya yang datang ke rumahnya setelah panggilan telefon tidak bersambut.
“Semangat saya hilang begitu sahaja, perniagaan saya abaikan. Kos ‘overhead’ saya biarkan meningkat hingga hutang menjadi ratusan ribu.
“Badan yang gempal menjadi kurus akibat gangguan konco-konco syaitan. Selera makan hilang hingga nyawa ibarat tinggal hujung-hujung sahaja,” katanya.
Cerita Azman Shah, keluarganya tidak putus asa mencari pengamal perubatan Islam seluruh negara untuk mengubati sakit dalaman diri yang sukar diterangkan betapa peritnya.
Berkat kasih ibu bapa, katanya lagi, seorang ustaz telah berjaya menyembuhkan dirinya setelah puluhan ribu wang dibelanjakan.
“Walaupun segalanya telah musnah, perniagaan saya berakhir dengan mencatat kerugian, saya bersyukur kembali sihat.
“Saya tidak menyalahkan pesaing yang menyebabkan saya diganggu hantu dan syaitan. Saya pun tidak mahu menuduh sesiapa walaupun nama pelaku turut disebut pengamal perubatan Islam tersebut. Harapan saya dia insaf dan bertaubat nasuha,” ungkapnya.














