fbpx

Akta khusus pengeluaran anak ayam perlu dikuatkuasakan – Ronald

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Seri Ronald Kiandee (kanan) melihat sebahagian telur yang telah siap dipek untuk dipasarkan ketika mengadakan lawatan ke Ladang Ayam Telur Selasih Aman yang terletak di Kalumpang di sini, hari ini. - MUHAMAD IQBAL ROSLI

HULU SELANGOR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menggesa kerajaan untuk mewujudkan akta khusus bagi memastikan pengeluaran anak ayam dan makanan kepada penternak lebih berkualiti.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, akta itu perlu diwujudkan kerana kualiti baka anak ayam dan makanan tidak memuaskan selain kos import dedak semakin tinggi.

“Kapasiti pengeluaran ayam negara tidak mencukupi beberapa minggu ini sehingga kita terpaksa membawa masuk ayam beku dari negara luar.

“Hal ini kerana beberapa faktor yang menyebabkan kapasiti pengeluaran dilakukan dalam kalangan penternak sehingga pengeluaran ayam negara tidak mencukupi.

“Tindakan intervensi dibuat kerajaan adalah untuk menampung kos pengeluaran terutama harga dedak iaitu jagung dan kacang soya yang mendadak tinggi harganya,” katanya ketika sidang akhbar di Ladang Haji Idrus, di sini hari ini.

Susulan itu, Ronald juga menegaskan penghasilan penanaman dedak tempatan perlu dilaksanakan bagi mengurangkan beban kepada syarikat pengeluaran ayam.

“Kita bergantung sepenuhnya kepada pengimportan dedak, peningkatan kos import bahan akan memberi kesan kepada industri ternakan negara.

“Kita perlu mengubah dan mengkaji semula dasar sedia ada untuk tidak bergantung kepada pengimportan dedak sekaligus mengurangkan bebanan kepada industri ternakan negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI