Apa hukum seorang suami berpura-pura curang kononnya sebagai prank atau gurauan kepada isteri dalam bentuk video dan sebagainya yang ditiru dari Barat?
Jawapan:
Ada beberapa perkara yang perlu difahami berkaitan hukum yang ditanya tersebut. Asalnya, bergurau senda yang tidak memberikan kesan yang buruk pada hubungan sesama Muslim atau tidak membawa kepada dosa adalah dibolehkan.
Perkara itu termasuk dalam bab muamalah atau pergaulan antara manusia yang hukum asalnya dibolehkan (harus) selagi tidak terbabit dengan perkara yang haram.
Gurau senda yang membawa kepada hubungan baik sesama manusia, apatah lagi sesama Muslim mendapat pahala jika niatnya baik dan caranya betul.
Gurau senda yang membawa kemesraan antara suami isteri digalakkan oleh agama sehingga Nabi s.a.w menyebut kepada Jabir bin ‘Abd Allah ketika menggalakkan beliau berkahwin dengan anak dara:
“Mengapa tidak anak dara, engkau bermain-main dengannya, dia bermain-main denganmu, engkau menjadikan dia ketawa dan dia menjadikanmu ketawa” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Namun, gurauan yang boleh menimbulkan salah faham, kebencian, ketakutan, merendahkan maruah, penghinaan atau apa-apa kesan buruk haram di sisi syarak.
Kata Al-Imam Al-Nawawi: “Ketahuilah sesungguhnya gurauan dilarang itu ialah yang melampaui batas dan berterusan (sentiasa melakukannya). Ini kerana, ia menyebabkan ketawa dan keras jantung hati, melalaikan daripada mengingati Allah dan (melalaikan) berfikir tentang perkara-perkara utama dalam agama. Ia juga dalam banyak keadaan membawa kepada menyakitkan pihak lain, menyebabkan kebencian, menjatuhkan kewibawaan dan ketenangan diri.
“Adapun gurauan yang selamat daripada perkara-perkara tersebut maka ia harus (dibolehkan), yang mana Rasulullah s.a.w melakukannya secara jarang-jarang dengan tujuan kemaslahatan tertentu, untuk membahagia dan memujuk perasaan pendengar. Ini sama sekali tidak dilarang. Bahkan ia satu sunah yang disukai jika (berlaku) atas sifat tersebut” (Al-Nawawi, Al-Azkar, ms 326. Beirut: Dar Al-Fikr ,1414H).
Terdapat banyak dalil tentang apa yang Al-Imam Al-Nawawi sebut itu. Dalam hadis sahih riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Baihaqi, al-Tahawi dan selain mereka, Nabi s.a.w melarang perbuatan gurauan yang menimbulkan ketakutan kepada seseorang Muslim yang lain: Para sahabat berjalan bersama Nabi s.a.w. Lalu, seorang lelaki dalam kalangan mereka tidur. Terdapat dalam kalangan mereka cuba ambil tali yang ada bersama lelaki tersebut, lantas dia terkejut. Maka, Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak halal untuk seorang Muslim membuat seorang Muslim lain panik ketakutan”.
Perbuatan prank bagi mengejutkan suami atau isteri bukan saja menimbulkan panik dan takut, ia juga menimbulkan kebencian dan marah. Kesemua itu membawa kepada keburukan dalam kehidupan. Ia tidak membawa apa-apa kebaikan kepada hubungan rumah tangga bahkan boleh merosakkan hubungan pasangan.
Ia juga menjatuhkan wibawa suami atau isteri dan boleh menimbulkan buruk sangka yang diharamkan oleh syarak. Sengaja menimbulkan buruk sangka orang terhadap diri adalah berdosa kerana sengaja menyebabkan orang lain berdosa.
Jelas prank konon-kononnya curang terhadap isteri merupakan perbuatan yang diharamkan di sisi Islam, maka wajib untuk setiap yang berakal waras menghindarinya.














