fbpx
ZULIN AZIZ

Zulin Aziz terima undangan tunai umrah depan Kaabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Tidak menyangka doanya untuk kembali ke Mekah segera dimakbulkan, Zulin Aziz mengakui menangis di depan Kaabah ketika menerima undangan menunaikan umrah buat kali ketiga.

Menurut pemilik nama sebenar Farah Azleenda Abdul Aziz itu, dia menerima undangan tersebut ketika menunaikan umrah pada Disember tahun lalu.

Undangan tersebut dihantar oleh pengacara Faizal Ismail yang merupakan Pengurus Promosi syarikat Syabibah Travel & Tours.

“Waktu itu saya baru sahaja selesai solat Subuh dan tengah berdoa di depan Kaabah supaya dijemput kembali ke Mekah.Hadia

“Pada waktu sama, tiba-tiba saya menerima mesej undangan untuk menunaikan umrah pada bulan Ramadan daripada abang Faizal Ismail.

“Memang susah untuk percaya dan saya sangat terkejut sampai menangis di situ juga. Sebab saya baru sahaja sebut untuk datang lagi dan terus dapat jemputan.

“Kira rezeki dan doa dimakbulkan Allah,” ujar Zulin.

Tambahnya yang baru mendirikan rumah tangga pada 20 Februari lalu bersama Farhan Norzaini, undangan tersebut dianggap sebagai hadiah perkahwinan paling bermakna buat mereka.

“Tawaran tunaikan umrah ini hadiah perkahwinan paling bermakna buat saya. Boleh dikira bulan madu dan hadiah daripada Allah.

“Sebelum ini kami menunaikan umrah bersama tetapi masih belum halal.

“Tetapi umrah pada bulan Ramadan nanti kami pergi sebagai pasangan suami isteri, pengalamannya pasti berbeza,” kata Zulin yang ditemui pada majlis sidang media semalam.

Dalam pada itu, Zulin yang pernah dijangkiti virus Covid-19 sekembalinya dari menunaikan umrah baru-baru ini tidak gusar untuk ke kembali ke Mekah biarpun penularan jangkitan virus berkenaan meningkat begitu mendadak.

“Kali pertama pergi memang belum ada kes Covid-19 langsung, kali kedua pergi sampai terkandas di Madinah.

“Pengalaman tidak berapa seronok semasa hendak pulang ke Malaysia kerana terdapat jemaah yang ditahan, tetapi saya dihantar pulang.

“Tiba saja di Malaysia terus positif Covid-19, namun perkara tersebut langsung tidak menghalang atau menakutkan saya untuk tunaikan umrah lagi.

“Sebab saya sudah pernah rasa, jadi tahu apa yang perlu dilakukan. Niat kita baik untuk beribadah, pergi sahajalah tidak ada yang hendak ditakutkan,” tutur Zulin.

Selain Zulin, selebriti lain yang turut diundang menunaikan umrah pada April depan bersama syarikat Syabibah Travel & Tours adalah Faizal Ismail, Saharul Ridzwan dan Bell Ngasri. – KOSMO! ONLINE

POPULAR