fbpx

Bomba berjaya pujuk lelaki cuba bunuh diri di bangunan IPD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba berjaya memujuk dan menyelamatkan seorang lelaki yang dipercayai cuba membunuh diri di bumbung IPD Kuala Muda, hari ini.

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki diselamatkan anggota bomba daripada cubaan membunuh diri di tingkat lima bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, lelaki berusia 47 tahun terbabit dilihat berdiri di atas bangunan tersebut dan dipercayai mahu terjun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abd. Rahman berkata, kejadian dimaklumkan petugas pondok pos pengawal IPD Kuala Muda pada pukul 4.45 petang.

“Kita terus menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani untuk bantuan.

“Pihak bomba tiba di lokasi kejadian pada pukul 5.10 petang dan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memujuk lelaki tersebut seterusnya dibawa turun dengan selamat,” katanya di sini hari ini.

Katanya, hasil semakan mendapati individu yang bekerja sebagai pengutip tin itu membuat laporan mendakwa dia diekori lelaki tidak dikenali di IPD Kuala Muda pada pukul 1.10 pagi hari sama.

“Siasatan awal mendapati suspek mengalami halusinasi dan didapati kurang siuman,” ujarnya.

Menurutnya, suspek didapati naik ke atas bumbung bangunan melalui pintu besi penghubung bumbung yang tidak berkunci kerana terdapat kerja-kerja penyelengaraan bumbung bocor.

“Lelaki terbabit dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk rawatan,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI