fbpx

200 pokok musang king dimusnahkan di hutan kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KIRA-kira 200 pokok durian musang king yang ditanam secara haram di hutan milik kerajaan di Sungai Lembing Kuantan dimusnahkan.

KUANTAN – Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) terus bertindak tegas dengan memusnahkan kira-kira 200 pokok durian musang king yang ditanam di dalam hutan milik kerajaan negeri di Sungai Lembing di sini.

Pegawai Hutan Daerah Kuantan, Pekan dan Maran, Norshazlee Roslee berkata, dalam operasi bersepadu selama empat jam berhampiran Kampung Kolong Pahat dan Kampung Sebarang semalam itu berjaya memusnahkan kira-kira 200 pokok durian musang king berusia empat hingga lima tahun.

“Dalam pemantauan dilakukan di kawasan sekitar turut terdapat lebih 2,500 pokok durian musang king berusia satu hingga dua tahun yang akan dimusnahkan secara berperingkat tidak lama lagi.

“Kita juga akan memusnahkan rumah kongsi dan rumah tenaga solar yang terdapat du kawasan hutan milik kerajaan itu,”katanya di sini hari ini.

Menurut Norshazlee operasi penguatkuasaan bersepadu di Kampung Kolong Pahat dan Kampung Seberang itu diadakan selama seminggu yang turut membabitkan aktiviti menanam pokok balak berkualiti tinggi sebanyak 3,000 pokok.

Jelasnya, operasi bersepadu membabitkan beberapa agensi kerajaan yang diadakan kali ini merupakan yang pertama diadakan pihaknya tahun ini yang membabitkan tanah milik kerajaan dengan keluasan kira-kira satu hektar.

Beliau berkata, pihaknya akan memantau kawasan terbabit bagi memastikan tidak ada pihak cuba menceroboh hutan berkenaan pada masa akan datang.

“Penyertaan penduduk setempat dalam operasi ini membuktikan kegiatan menceroboh tanah milik kerajaan tidak disenangi mereka kerana ia mengundang kejadian tidak diingini seperti hakisan dan banjir lumpur yang boleh mengancam nyawa penduduk yang tinggal berhampiran kawasan berkenaan.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang sesuka hati menceroboh tanah milik kerajaan termasuk hutan simpan di daerah ini,”ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI