fbpx
Gambar hiasan

‘Kami mahu tinggal di rumah sendiri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Rata-rata golongan B40 yang hidup terbeban dengan kadar sewa tinggi khususnya di ibu negara merayu agar kerajaan menyegerakan pembinaan rumah mampu milik, sekali gus boleh meringankan beban kewangan rakyat.

Pembinaan rumah mampu milik itu bukan sahaja dilihat memberi peluang kepada rak­yat untuk memiliki kediaman sen­diri, malah membolehkan mereka­ menjimatkan wang selepas terpaksa menanggung kadar sewa yang sangat tinggi selama ber­tahun-tahun lamanya.

Pekerja swasta, Ghazali Alias, 32, berkata, dia sangat menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai cadangan kerajaan untuk membina 500,000 unit rumah mampu milik kepada rak­yat berpendapatan rendah.

“Sebagai golongan yang begitu memerlukan rumah pada harga mampu milik, saya amat menyam­but baik keputusan ini memandangkan harga rumah ketika ini memang di luar kemampuan.

“Bagaimanapun, saya berharap kerajaan dapat memberikan kuota rumah itu kepada individu yang benar-benar layak.

“Kami sudah tidak sanggup menyewa pada kadar yang tinggi dan berharap impian untuk mendiami rumah sendiri akan menjadi kenyataan,” katanya kepada Kosmo! di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai memberi reaksi cadangan kerajaan untuk membina kira-kira 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara.

Dalam pada itu, bercerita mengenai kesukarannya mendapat rumah sewa pada harga rendah, Ghazali mengakui, dia terpaksa berulang-alik sejauh 200 kilometer dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur semata-mata untuk datang ke tempat kerja setiap hari.

“Saya tiada pilihan dan perlu menjimatkan wang daripada membayar sewa rumah. Kos perjalanan sebulan kira-kira RM400 dan kalau saya menyewa, ia mencecah RM700 sebulan.

“Bila berulang-alik, saya mempunyai lebihan sebanyak RM300 sebulan dan wang itu boleh di­simpan untuk hal-hal kecemasan,” katanya.

Bagi seorang eksekutif akaun, Siti Adibah Tukiran, 32, pula, dia menyifatkan ramai golongan muda kini berdepan masalah membeli rumah pada harga rendah terutama di kawasan bandar.

“Memang tidak mampu (beli rumah) kerana purata harga di bandar adalah serendah RM300,000 dengan ansuran bulanan lebih RM1,200. Gaji kami dari golongan B40 tidak tinggi, banyak lagi komitmen yang perlu dilangsaikan setiap bulan.

“Walaupun saya sudah berkahwin, namun ia masih tidak cukup jika mahu membeli rumah di bandar kerana kami juga ada tanggungjawab lain,” ujarnya.

Sehubungan itu, Siti Adibah berharap agar cadangan pembinaan rumah mampu milik dapat direalisasikan segera, seterusnya memenuhi hasrat Satu Keluarga Satu Rumah.

Zaidi Aamin, 32, pula berharap agar kualiti rumah yang akan dibina kerajaan berada pada tahap terbaik meskipun kediaman itu berstatus mampu milik.

“Sebagai salah seorang rak­yat yang akan memohon rumah mampu milik itu, saya begitu berharap agar kualiti ditawarkan adalah baik dan bukannya dibina secara ala kadar.

“Sekiranya kerajaan dapat mewujudkan konsep rumah mampu milik yang sebenar, pasti­ ia akan mendapat sambutan dari­pada rakyat,” katanya.

POPULAR