fbpx

Malaysia pamer dominasi juarai BATC 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD lelaki negara berjaya menebus kekecewaan di Manila apabila muncul juara pada BATC 2022 selepas menundukkan Indonesia di pentas final sebentar tadi.

MALAYSIA memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 selepas menewaskan Indonesia 3-0 di perlawanan akhir hari ini.

Kemenangan itu sekali gus dapat menebus kekecewaan pada edisi dua tahun lalu di Manila, Filipina apabila muncul naib juara selepas tewas kepada lawan sama menerusi keputusan 3-1.

Pada aksi final hari ini, Malaysia memulakan saingan dengan langkah positif menerusi perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia yang menghadiahkan mata pertama selepas menewaskan Chico Aura Dwi Wardoyo 14-21, 21-12, 21-10.

Sokongan padu hampir 200 penonton yang membanjiri Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam nyata membangkitkan semangat juang juara Seluruh England (All England) itu selepas dia tewas di set pertama.

“Kita juara pun tidak boleh terlalu gembira kerana pasukan-pasukan lain hantar skuad kedua sahaja, cuma kita mahu pertahankan standard sendiri. Sudah tentu cabaran lebih sukar menanti kita di Piala Thomas nanti.

“Memang juara tetap juara dan kita perlu raikannya tetapi masih banyak kerja perlu dilakukan bagi memastikan pasukan benar-benar bersedia ke arah saingan Piala Thomas,” kata pemain No.7 dunia itu.

Beralih ke acara beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meletakkan Malaysia semakin hampir dengan gelaran sulung kejohanan berpasukan itu apabila bangkit menundukkan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 17-21, 21-13, 21-18.

Ternyata dua kemenangan ke atas beregu Indonesia itu dalam kejohanan Terbuka Thailand dan Switzerland tahun lepas membantu Aaron-Wooi Yik untuk menewaskan mereka buat kali ketiga.

Perseorangan kedua, Ng Tze Yong sekali lagi menjadi wira negara apabila memastikan mata kemenangan Malaysia menerusi kemenangan straight set 21-14, 21-15 ke atas Ikhsan Leonardo Imanuel Rumbay.

Skuad negara pastinya perlu bekerja bagi menghadapi saingan Piala Thomas di Bangkok, Thailand Mei depan memandangkan pasukan-pasukan lain bakal mempertaruhkan pemain-pemain terbaik mereka.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI