fbpx
Wanita warga emas berkenaan hadir di Balai Polis untuk siasatan memandu di lorong motosikal.

Panik sesat jalan punca warga emas pandu lorong motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Seorang pemandu kereta Suzuki Alto yang tular memasuki laluan motosikal di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) di sini, Rabu lalu bertindak demikian akibat panik selepas dia tersesat jalan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 7.24 malam dan kereta itu dipandu seorang wanita warga emas berusia 69 tahun.

Katanya, ketika kejadian pemandu yang menetap di Banting sedang menuju ke rumah anak saudaranya di sekitar Pandamaran, Klang.

“Namun, setibanya di Kilometer 31.1 Kesas dari arah Klang menghala Kuala Lumpur, wanita berkenaan tersesat jalan dan panik.

“Dia kemudian mahu membuat pusingan u namun tersalah memasuki laluan motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Ramsay, pemandu itu yang menyedari tersalah jalan kemudiannya berhenti dan mengundurkan kenderaan dengan perlahan sebelum memasuki laluan yang betul di lebuh raya itu.

“Dia kemudiannya berhenti di tepi jalan dan menghubungi anak saudaranya untuk mengambilnya di kawasan tersebut,” ujarnya.

Katanya, kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan dengan kenderaan lain dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 49 saat memaparkan sebuah kereta lain nyaris melanggar Alto dipandu wanita warga emas itu yang bertindak memasuki laluan motosikal, sebelum berhenti selepas dihon beberapa penunggang motosikal yang menggunakan laluan yang sama. -KOSMO! ONLINE

POPULAR