USAHA lebih setahun penulis untuk bertemu empat mata dengan penyanyi dan pelakon cantik Elyana buat pertama kali akhirnya termakbul.
Lega. Sapaan penulis menyambut kedatangannya ke studio fotografi Media Mulia tempoh hari berbalas riang. Melihat kelibat dan keramahan, diri Elyana seperti sudah banyak kali kami bertemu.
Sempat memohon maaf atas kelewatan, Elyana nampak bertenaga dan ceria. Tanpa berlengah membuang waktu, pelantun lagu Niat itu terus mengambil tempat duduk untuk dirias jurusolek, El Manda Zuhairy yang sedari awal sudah menunggu.
Sambil wajahnya dioles, dia mula bercerita. Banyak perkara yang ingin diselami tentang perjalanan hidup pemilik nama lengkap Erneelya Elyana Emrizal itu sebagai seorang pejuang kanser.
Selama 11 tahun dihantui rasa takut, gelisah, murung dan buntu, Elyana sebenarnya jarang berkongsi keresahannya dalam media sosial, cuma lewat kebelakangan ini sahaja perkembangan kesihatannya ada dikongsikan bersama peminat.
Selain menderita sakit, siapa sangka Elyana sebenarnya pernah dirujuk pakar psikiatri kerana kesihatan mentalnya turut terganggu.
Katanya, itulah titik paling rendah pernah berlaku dalam hidupnya selama 11 tahun bergelut dengan penyakit kanser limfoma.

Bebas kanser
Elyana yang sebelum ini pernah dimaklumkan doktor hanya mampu hidup selama tujuh bulan, kembali bersemangat selepas diberitahu telah bebas daripada kanser.
“Alhamdulillah. Allah Maha baik. Terima kasih kerana beri saya ujian ini (kanser).
Kalau saya tidak dapat ujian ini, mungkin saya tidak jadi diri saya seperti hari ini.
“Alhamdulillah juga kerana Allah SWT masih beri saya peluang kedua untuk hidup,” katanya.
Sambil ditemani suami tercinta, Khairul Anuar Husin di sisi, kelopak mata penyanyi itu bergenangan.
Sesekali suaranya tersekat-sekat menahan sebak ketika mengimbas kembali perjalanan melawan kanser selama ini.
Kata Elyana, pergelutannya melawan ‘pembunuh senyap’ itu tidak diketahui ramai. Dia sendiri pernah terdetik untuk berputus asa dan menyerah pada takdir andai maut sahaja menjadi pengakhiran perjuangannya yang satu itu.
“Empat tahun pertama selepas disahkan menghidap kanser pada 2012, saya tidak jumpa diri saya yang sebenar.
“Tiba-tiba saya jadi tidak tahu hendak ketawa, tidak tahu hendak menyanyi dan bercakap dengan orang.
“Saya rasakan diri tidak berguna. Saya ada anak kecil, tapi tidak mampu menjadi ibu seperti wanita lain.
“Banyak kali saya hendak berputus asa selepas berjuang sebaik mungkin, tapi Allah SWT belum angkat doa saya.
“Saya enggan meneruskan kimoterapi kerana tidak sanggup menahan kesakitan setiap kali menjalani rawatan,” ceritanya.

Meracau
Lebih menyukarkan keadaan, penyakit yang dialami turut menjejaskan mental bekas penerima trofi Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular 2002 itu. Dia pernah hilang pertimbangan, meracau dan mengamuk kerana tidak tahan menanggung kesakitan.
“Hospital jadi kelam kabut sehingga doktor terpaksa suntik ubat penenang sebanyak tiga kali akibat saya meracau dan menjerit-jerit.
“Saya tidak sedar kerana berada dalam keadaan tidak waras. Selama dua hari saya begitu (mengamuk) sampai terkencing dalam seluar. Suami beritahu, doktor meminta izin untuk ikat tangan saya,” katanya.
Liku yang dilalui Elyana bersama suami turut diuji dengan masalah kewangan. Jujur katanya, sampai satu ketika, keadaan ekonomi mereka sangat terjejas kerana kos rawatan yang besar.
Katanya, walaupun mendapat pelbagai tawaran untuk menyanyi dan berlakon, namun semuanya terpaksa ditolak atas alasan ‘terlalu sibuk’.
“Allah SWT beri pelbagai rezeki, tapi saya terpaksa tolak. Kepala saya botak akibat kimoterapi. Ada suatu ketika saya langsung tidak boleh berjalan.
“Ramai tidak tahu pada leher saya terdapat satu bonjolan sebesar bola tenis yang saya sorok dengan pelekat. Saya hilang keyakinan diri dan terpaksa menolak banyak rezeki sedangkan sangat memerlukan wang,” ujarnya.

Fitnah dan tohmahan
Sepanjang menanggung derita kanser, Elyana juga tidak terlepas daripada menerima tohmahan dan fitnah netizen.
Dek tidak mempamerkan kesakitan yang dialaminya, dia dituduh berpura-pura sakit.
“Orang kata saya mengada-ngada. Mereka yang tahu saya sakit pula, ada yang meramalkan bahawa suatu hari nanti saya akan bergelar janda kerana diceraikan suami.
“Malah ada juga mempersoalkan kenapa saya masih hidup walaupun telah membuat pengakuan menghidap kanser.
“Kadang-kadang manusia ini bukan buta mata, tetapi buta hati. Hakikatnya saya meraung, saya terseksa,” luahnya.
Tanggal 7 Disember 2021, Elyana bagaikan beroleh nyawa kedua selepas disahkan doktor yang merawatnya selama 10 tahun iaitu Dr. Mohd. Haris Fadzillah Abdul Rahman bahawa tubuhnya telah bebas kanser.
Ibarat suatu keajaiban berlaku, bukan sahaja Elyana, bahkan doktor juga terkejut apabila mendapati sel kanser yang selama ini ‘meratah’ tuduhnya, hilang serta-merta selepas lima kali melakukan kemoterapi.
“Sehingga sekarang saya sendiri rasa tidak percaya bahawa saya sudah bebas kanser. Namun dalam gembira, saya sebenarnya bimbang andai sejarah hitam muncul semula.

“Lebih takut jika saya jadi lalai dan terleka selepas diberi peluang kedua ini. Tapi apa pun, saya tidak mahu lagi menghidap kanser.
“Cukuplah derita saya selama ini. Saya mahu jadi ‘Elyana’ seperti sebelum ini walaupun imej saya telah berubah (berhijab),” katanya.
Sudah namanya anak seni, kehidupan itu juga yang diladeni ketika ini. Elyana bakal tampil dengan sebuah single baharu selewat-lewatnya sebelum Ramadan nanti.
Bagi Elyana, kecintaannya dalam nyanyian dan lakonan masih menebal.
Seperkara yang paling istimewa, keluarga yang menjadi nadi kehidupannya adalah keutamaannya. Elyana mahu mencipta banyak memori yang selama ini tidak dapat dilakukan bersama keluarga, khususnya dua orang anaknya, Cinta Sumayyah, 11, dan anak angkat, Cahaya Ramadhani yang kini berusia tiga tahun.
“Bekerja tetap perlu bekerja. Inilah hidup saya selama ini. Cuma saya akan utamakan saat bersama keluarga. Saya bekerja pun untuk gembirakan hati keluarga.
“Saya hendak buat banyak perkara yang tidak dapat dilakukan sebelum ini seperti memanjat gunung. Doakan saya tidak terlalai. Saya tidak mahu perkara sama berulang,” katanya menutup perbualan.
















