fbpx

Misi pencarian MH370 dimulakan semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pesawat MH370 terputus hubungan dengan menara kawalan trafik udara kira-kira 40 minit selepas berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014. - AFP

CANBERRA, Australia – Pencarian penerbangan Malaysia Airlines MH370 yang hilang lapan tahun lalu dilaporkan dimulakan semula selepas teknologi baharu dikatakan membantu menentukan secara tepat  lokasi pesawat tersebut terhempas, demikian menurut akhbar MailOnline kelmarin.

‘Pemburuan’ MH370 kembali aktif selepas seorang jurutera aeroangkasa Britain, Richard Godfrey berkata, dia dapat mengesan kapal terbang Boeing 777 tersebut menggunakan teknologi pengesanan baharu.

Dakwa Godfrey, sistem menggunakan isyarat radio itu bertindak seperti penggera pengesanan penceroboh (IDS) dan membantunya dalam usaha menyelesaikan salah satu misteri paling rumit  dalam dunia penerbangan antarabangsa.

Bangkai pesawat MH370 itu dikatakan berada pada kedudukan 3,962 meter di dasar laut dengan  jarak 1,931 kilometer ke barat Perth, Australia.

Lokasi itu, katanya, dikenali sebagai Broken Ridge yang merupakan sebuah kawasan tanah tinggi di dasar laut. Broken Ridge yang menempatkan gunung berapi dan jurang, terletak  di tenggara Lautan Hindi.

“Saya yakin bahawa insiden yang menimpa MH370 adalah disebabkan oleh juruterbang, Kapten Ahmad Zaharie Shah yang membuat keputusan menukar laluan pesawat dan menghilangkannya di sebuah lokasi paling terpencil di dunia.

“Kini dengan adanya teknologi canggih dan moden, saya berharap pesawat itu kembali ditemui sekali gus merungkai misteri yang sudah berlanjutan selama lapan tahun,” kata Godfrey.

Jurutera itu berkata,  sistem penjejakan baharu yang dipanggil Pelapor Penyebaran Isyarat Lemah (WSPR)  adalah seperti mempunyai sekumpulan IDS yang berfungsi dalam setiap arah bagi mengesan isyarat daripada data komunikasi satelit MH370.

Ketua Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, Angus Mitchell berkata, beliau berharap misteri aviasi terbesar di abad ini yang tidak dapat diselesaikan itu akan menemui penghujungnya.

“Kami sedang menyemak semua data lama, mencari apa-apa yang mungkin terlepas.

“Oleh kerana laporan itu meletakkan pesawat di kawasan yang pernah dicari, kami sedang meneliti semakan data dengan kerjasama Geosains Australia,” kata Mitchell.

Mitchell turut menyatakan keyakinan terhadap penyelidikan Godfrey  dan menyifatkannya boleh dipercayai tetapi enggan memberi harapan palsu kepada keluarga mangsa.

“Kami mempunyai data yang cukup daripada satelit, kami mempunyai oseanografi, analisis drift, kami mempunyai data prestasi daripada Boeing dan kini ditambah dengan teknologi baharu oleh Godfrey.

“Kesemuanya menunjukkan satu kesimpulan yang sama iaitu lokasi pesawat terhempas adalah pada satu titik khas di Lautan Hindi,” ujarnya.

Pesawat MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014 bagi perjalanan ke Beijing, China dengan membawa 239 penumpang. 

Menara kawalan trafik udara melaporkan terputus hubungan dengan pesawat itu kira-kira 40 minit selepas ia berlepas dan terus hilang tanpa jejak.

Sejak 2014, 33 serpihan yang dipercayai milik MH370 telah ditemui di enam negara termasuk Afrika Selatan dan Madagascar yang menurut pakar telah membuktikan pesawat itu terhempas ke dalam Lautan Hindi. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI