fbpx

Hantu Mok Joh, Amerul Affendi jadi penari makyung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KELAKAR, berhantu dan penuh nilai estetika serta budaya, filem Hantu Mok Joh kini menemui penonton menerusi Astro First.

SEBARANG naskhah, filem mahupun telefilem yang mengetengahkan dialek Kelantan dilihat sering berjaya menarik perhatian penonton Malaysia.

Judul-judul seperti Mael Totey The Movie, telefilem yang pernah tular tahun 2018, Pok Ya Cong Codei, filem terbaik di Festival Filem Malaysia ke-25, Bunohan cukup sebagai penegasan untuk penyataan tersebut.

Terbaharu, sebuah lagi filem dengan dialek Kelantan yang mengetengahkan genre seram komedi, Hantu Mok Joh menjanjikan kehebatan serupa.

Naskhah terbitan produksi Kentang Hijau Universal Production dan arahan Asri Baq’U tersebut menjalani penggambaran di Kota Bharu, Kelantan menampilkan pelakon berbakat besar tanah air seperti Amerul Affendi membawakan watak Yem, Fauziah Nawi (Mok Joh) dan Aloy Paradoks (Heri) sebagai pelakon watak utama.

PELAKON hebat, Amerul Affendi (kanan) beraksi sebagai penari makyung bernama Yem dalam filem seram komedi terbaharu, Hantu Mok Joh.

Menariknya, Amerul sekali lagi mempertaruhkan bakat dengan membawa watak yang memerlukan pertuturan loghat Kelantan dan menjadi penari makyung.

Video sedutan daripada filem yang memaparkan Amerul menari makyung juga telah menerima reaksi positif penonton.

Selain itu, filem ini turut dibintangi oleh pelakon kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut seperti Aprena Manrose, Kamarool Hj. Yusoff, Amir Raja Lawak, Hushairi Husain, Asrulfaizal Kamaruzaman, Mek Yun (Wee Yun Nee) wanita Cina tular fasih berbahasa Melayu, Kuna Munzani, Bea Rameshan serta pelakon Kodi Rasheed.

Tidak hanya memfokuskan elemen seram dan komedi, Hantu Mok Joh juga menyelitkan nilai kritik sosial yang boleh dijadikan iktibar kepada penonton.

Antaranya, menerusi watak-watak masyarakat komuniti yang mudah percayakan sesuatu berita tanpa memeriksa kesahihan sumber, warisan seni tradisional yang harus diwarisi generasi muda, sikap skeptikal terhadap seseorang mengikut negeri asalnya, suka melepak serta membuang masa dan banyak lagi.

Penerbit Eksekutif filem Hantu Mok Joh, Udin Sham berkata, filem pertama terbitan Kentang Hijau Universal Production tersebut terhasil daripada idea asal pengarahnya sendiri, Asri Baq’U.

FAUZIAH NAWI melakonkan watak Mok Joh, seorang pemain makyung.

“Kami cuba menampilkan kelainan dengan menggabungkan elemen seni moden dan tradisional. Tambah menarik, dialog filem ini mengangkat budaya Kelantan dan memaparkan kisah kehidupan masyarakat setempat yang amat dekat dengan kita.

“Menerusi filem ini juga, kami cuba membariskan gabungan pelakon berbakat dan ‘influencer’ (pempengaruh) media sosial. Manakala skrip yang ditulis oleh Engku Seri Kelantan dan Aloy Paradoks bukanlah dialog semata-mata, tetapi turut menyelit mesej-mesej tersirat dengan unsur pengajaran.

“Dengan kehadiran Hantu Mok Joh ini, kami berharap filem ini bukan sahaja dapat menarik penonton di Pantai Timur sahaja, tetapi seluruh penonton Malaysia terutamanya pencinta seni,” katanya.

SELAIN lakonan hebat Seniwati Fauziah Nawi, filem Hantu Mok Joh turut mengetengahkan si jelitawan berdarah Kelantan, Aprena Manrose.

Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad pula berkata, sebagai sebuah platform yang mempersembahkan filem-filem tempatan kepada penonton Malaysia, Astro bukan sahaja bertanggungjawab mengetengahkan karya yang mempunyai nilai hiburan dan jalan cerita yang baik, malah turut mengutamakan nilai budaya dan estetika.

“Hantu Mok Joh diwarnai dengan unsur seni tradisional seperti makyung, dikir barat dan wayang kulit sebagai kelainan, sekali gus membuktikan seni warisan boleh dimartabatkan menerusi filem moden dengan gaya kreatif.

“Kami harap kehadiran naskhah ini mampu memperkasakan lagi filem-filem yang menonjolkan budaya lokal, di samping menghiburkan penonton,” ujar Jastina.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI