fbpx

Slang ‘mat salih’, Megat Rahim selesa jadi diri sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEGAT RAHIM

PETALING JAYA – Sering ditegur akibat slang ‘mat salih’ yang menebal dalam pertuturan, pendatang baharu Megat Rahim mengakui, selesa menjadi diri sendiri sementelah komunikasi sehariannya di rumahnya juga menggunakan bahasa Inggeris.

Peserta program Big Stage musim keempat (BS4) itu bagaimanapun menegaskan, dia tetap Melayu tulen, tiada sebarang darah campuran bahkan dilahirkan dibesarkan di Kuala Lumpur.

“Saya Melayu tulen dan tidak ada sebarang darah campuran. Saya juga lahir dan dibesarkan di Kuala Lumpur.

“Mungkin sebab saya dan keluarga bertutur bahasa Inggeris di rumah membuatkan gaya percakapan saya berbeza (slang bahasa Inggeris),” katanya.

Bukan perkara baharu, penyanyi berumur 20 tahun itu selalu dikritik netizen dalam media sosial disebabkan cara sebutan bahasa Melayunya yang kedengaran pelat.

“Banyak kali juga orang tegur. Betul, tapi hendak buat macam mana sebab saya sudah terbiasa dengan gaya percakapan begitu.

“Saya lebih suka dan selesa menjadi diri sendiri,” katanya.

Megat yang ditemui ketika sidang media selepas konsert minggu kedua BS4 baru-baru ini berkata, gaya pertuturannya yang berbaur slang ‘mat salih’ hanya akan kedengaran ketika dia bercakap sahaja dan tidak sewaktu menyanyi.

“Slang saya akan keluar ketika bercakap. Namun sewaktu menyanyikan lagu bahasa Melayu langsung tidak kedengaran slang itu,” jelasnya.

Pada masa sama, Megat yang baru sahaja pulih daripada dijangkiti Covid-19 bersyukur selepas tidak mengalami gejala teruk sewaktu dijangkiti wabak tersebut dan masih boleh menyanyi seperti biasa.

“Alhamdulillah, saya masih boleh menyanyi seperti biasa dan dapat membuat persembahan sulung ketika konsert minggu kedua,” ujarnya.

Pada minggu ketika Ahad nanti, Megat akan membawakan lagu Pencinta Wanita nyanyian asal oleh penyanyi Indonesia, Irwansyah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI