fbpx

Pemandu BMW rempuh tiga kenderaan ditahan, ada masalah mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video memaparkan kereta BMW berkenaan bertindak merempuh tiga buah kenderaan secara sengaja sebelum melarikan diri.

KUALA LUMPUR – Pemandu kereta jenis BMW yang tular di media sosial angkara merempuh tiga buah kenderaan ‘secara sengaja’ di dua lokasi berasingan akhirnya berjaya ditahan polis, hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Zulkafli Chek Lah berkata, pihaknya terkesan dengan tiga buah video yang tular menerusi laman Facebook Muqri Abdul Jabar hari ini yang memaparkan kereta jenis BMW telah melarikan diri sebaik melanggar tiga kenderaan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku kelmarin antara pukul 3.30 hingga 4 petang di Jalan 6/108C, Taman Sungai Besi dan Lebuh Raya Sungai Besi (BESRAYA) melibatkan BMW dan tiga buah kenderaan masing-masing sebuah kereta dan dua motosikal.

“Melalui video tersebut didapati suspek yang bergerak dari arah Kuchai Lama menghala Taman Sungai Besi telah melanggar bahagian belakang kereta jenis Perodua Bezza yang sedang berhenti di lampu isyarat Jalan 6/108C.

“Selepas rempuhan, suspek tidak memberhentikan kenderaannya sehingga di BESRAYA, suspek kemudiannya merempuh bahagian belakang motosikal jenis Kawasaki Vulcan yang sedang bergerak di lorong paling kanan.

“Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal telah terjatuh dan hanya mengalami kecederaan ringan,” ujarnya dalam kenyataan sebentar tadi.

Menurutnya, suspek juga tidak memberhentikan kenderaannya selepas perlanggaran kedua dan terus bergerak di BESRAYA sehingga merempuh bahagian belakang motosikal jenis Honda RS150R yang sedang bergerak di lorong tengah.

“Akibat rempuhan berkenaan, penunggang motosikal terjatuh dan mengalami kecederaan ringan pada tangan dan kaki,” ujarnya.

Tegas beliau, suspek yang berumur 37 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan dan telah dibawa ke Balai Polis Salak Selatan Baru untuk tindakan lanjut.

“Siasatan mendapati suspek merupakan seorang pesakit mental dan kini telah ditahan di Wad Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” ujarnya.

Katanya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI