Bertempat di sebuah gimnasium di pusat beli-belah Suria Kuala Lumpur (KLCC), gelanggang badminton bersinar dalam gelap yang pertama di Malaysia itu mendapat perhatian orang ramai yang tidak sabar untuk merasai sendiri pengalaman berbeza bermain sukan tersebut.
Gelanggang yang dinamakan Shuttle in the Dark itu turut terbukti berkelas antarabangsa apabila gelanggang dan kelengkapannya mendapat sijil pengiktirafan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Berkonsepkan glow in the dark, bukan sahaja gelanggangnya bersinar dalam gelap tetapi juga baju pemain, raket dan bulu tangkis turut bersinar.
Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my
SUKAN badminton mempunyai pengikut yang cukup ramai di Malaysia, malah bermain badminton juga antara aktiviti waktu senggang yang cukup dekat di hati rakyat negara ini.
Peralatan yang ringkas dengan gaya permainan cergas menjadikan sukan badminton mudah untuk dimainkan.
Menyedari kecintaan orang ramai terhadap sukan itu, sebuah syarikat berpengalaman dalam sukan badminton ingin memberikan pengalaman menarik kepada peminat sukan tersebut dengan mewujudkan gelanggang badminton yang bersinar dalam gelap.
Bertempat di pusat beli-belah Suria Kuala Lumpur (KLCC), gelanggang bersinar dalam gelap yang pertama di Malaysia itu mendapat perhatian orang ramai yang tidak sabar untuk merasai sendiri pengalaman berbeza itu.
Lebih menarik lagi, hanya rekaan dalaman dan peralatan permainan badminton yang menyala di dalam gelanggang dikenali sebagai Shuttle in The Dark itu, manakala selebihnya ruang yang gelap-gelita.
Menampilkan dekorasi dalaman berunsurkan sensori dan futuristik, ia memberikan kelainan dan pengalaman berbeza kepada pencinta sukan badminton yang mungkin mahu merasai pengalaman menarik sambil meniru aksi atlet negara, Lee Chong Wei.
Shuttle in The Dark mula membuka pintunya kepada pengunjung awal tahun ini dan sehingga kini sudah pun menerima jumlah tempahan yang banyak.

Menurut pengarah syarikat pengurusan sukan INIC Sports Management Sdn. Bhd. yang merupakan pengasas Shuttle in The Dark, Irina Inozemtseva, 33, idea untuk mewujudkan gelanggang badminton sedemikian bermula ketika menyedari bahawa penademik telah memberikan kesan kepada sukan badminton.
“Saya mahu memberikan nafas baharu kepada sukan badminton dan sudah tiba masanya orang ramai melihat sukan ini dari sudut baharu.
“Saya juga mahu mengembangkan industri sukan badminton dengan menjadikan Malaysia sebagai perintis kepada inovasi ini,” katanya kepada K2.
Shuttle in The Dark merupakan jalinan kerjasama antara INIC dengan Pusat Kecergasan Menara Berkembar KLCC untuk mewujudkan satu pengalaman menarik dengan bermain badminton di dalam gelap.
Inozemtseva berkata, idea untuk mewujudkan gelanggang tersebut juga datang daripada minatnya sendiri terhadap sukan badminton dan gabungan teknikal antara cahaya dan aktiviti sukan.
“Deria kita semakin hidup di dalam satu kawasan yang gelap lalu kami mahu mengujinya menerusi permainan badminton.
“Selepas menjalankan penyelidikan untuk satu tempoh yang panjang, pasukan kami berjaya menyerlahkan kreativiti dengan mewujudkan satu gelanggang badminton dengan konsep yang cukup berbeza,” katanya.
Menurut bekas pemain badminton kebangsaan Rusia itu lagi, elemen berkilau dalam gelap yang diterapkan pada Shuttle in The Dark bukan hanya terhad kepada gelanggang badminton, malah peralatan permainan dan pakaian pemain turut berkonsepkan glow in the dark bagi memberikan sensasi menarik ketika bermain badminton.
“Pengunjung boleh menempah gelanggang pada harga RM180 sejam di mana pakej tersebut meliputi pengalaman bermain badminton dalam gelap, empat raket badminton yang bersinar, satu set bulu tangkis bersinar yang diberikan secara sewaan serta gelang tangan untuk setiap pemain.
“Setiap raket yang digunakan akan dikenakan deposit sebanyak RM50 setiap satu,” katanya.

Inozemtseva yang berpengalaman luas dalam pengurusan pelancongan sukan menambah, apa yang lebih menarik adalah semua pengunjung yang menempah gelanggang itu akan berpeluang bermain di atas gelanggang diiktiraf Persekutuan Badminton Dunia (BWF). Gred lantai gelanggang dan jaringnya juga bertaraf kejohanan BWF International seperti mana dirasai pada Kejohanan Terbuka Macao dengan gelanggangnya berhawa dingin dan terhad kepada lapan orang pemain pada satu-satu masa.
Shuttle in The Dark terletak di dalam gimnasium Menara Berkembar di ruang legar pusat beli-belah KLCC.
Sebaik sahaja membuat tempahan, pengunjung akan diberikan penerangan serta peralatan sukan badminton sebelum dibawa memasuki ruang gelanggang.
Selepas selesai memakai pakaian khas yang bercahaya dalam gelap, pemain boleh mula bermain.
Tidak dinafikan, sinaran cahaya neon daripada rona kuning, jingga dan merah jambu yang muncul saat raket dihayun memberikan sensasi menarik pada sukan badminton.
Selain untuk tujuan bersukan, gelanggang badminton itu juga merupakan satu tarikan pelancongan baharu.
“Selain elemen kecergasan, sesuatu yang unik seperti ini sudah pasti mampu menarik perhatian pelancong dan secara tidak langsung menjadi satu produk pelancongan kebanggaan Malaysia,” kata Inozemtseva.

Selepas dibuka, Shuttle in The Dark menerima reaksi sesetengah orang yang menyifatkan biarpun menarik, namun elemen gelap menambahkan lagi kesukaran pada permainan badminton.
Cahaya neon yang terang mungkin sedikit sebanyak mengganggu kelancaran permainan itu yang memerlukan pergerakan pantas serta fokus yang tinggi.
Namun, Inozemtseva menyifatkan ‘cabaran’ tersebut sebagai satu bentuk ujian deria yang menarik.
“Memandangkan peralatan dan pakaian yang digunakan bersinar dalam gelap, pemain masih boleh melihat persekitaran mereka dengan baik.
“Malah, kebanyakan pengunjung yang sudah merasai pengalaman bermain dalam gelanggang Shuttle in The Dark menyifatkan ia tidak begitu sukar dan cukup teruja untuk mengulangi pengalaman tersebut,” katanya.
Seorang pengunjung, Mike Ng Seong Hou yang berpeluang merasai pengalaman bermain di gelanggang unik itu menyifatkan ia sebagai satu pengalaman yang menarik.
“Amat menyeronokkan apabila dapat bermain badminton dalam gelap.
“Gelanggang tersebut diperbuat daripada tikar getah profesional yang memberikan lebih keseronokan saat bermain.
“Saya amat menggalakkan orang ramai untuk mencubanya sekali seumur hidup,” kongsinya pada ruangan komen di halaman Facebook Shuttle in The Dark.
Solehah Mardhiyah Misnan pula berkata, dia pernah melihat gelanggang seperti itu sebelum ini di Eropah, namun mengakui binaan Shuttle in The Dark lebih baik dan mengagumkan.
“Saya sukakan suasana bermain di sini dan akan berkunjung lagi ke Shuttle in The Dark,” katanya.














