fbpx

RM60 bilion untuk pembeli rumah kali pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus

PETALING JAYA – Institusi kewangan di negara ini sentiasa menyokong pemilikan kediaman oleh rakyat Malaysia dengan menyediakan pembiayaan inovatif dan berpatutan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, bagi tahun 2021 pihak bank telah meluluskan pinjaman lebih RM60 bilion buat pembeli rumah kali pertama, yang mana lebih 60 peratus daripadanya ialah untuk membeli hartanah berharga RM500,000 dan ke bawah.

“Kami faham selepas pandemik, banyak perkara yang telah berubah dan ini termasuk model pembiayaan untuk kediaman.

“Kini kita ada skim rent to own, dan bagi kumpulan pekerja gig yang mana pendapatan mereka sukar dijangka, terdapat akses yang lebih baik seperti bil telefon dan bil utiliti yang boleh menjadi sumber penilaian kredit oleh peminjam.

“Hal ini boleh disokong ekosistem perkongsian data tidak hanya antara pihak swasta, malah dalam kalangan agensi kerajaan dan ini antara cadangan kami di bawah Pelan Induk Sektor Kewangan yang diterbitkan BNM baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan secara maya semalam sempena pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia bagi tahun 2021 yang merekodkan pertumbuhan 3.1 peratus.

Bagi tempoh sembilan bulan terakhir tahun 2021, pihak bank telah mengagihkan pembiayaan untuk hartanah kediaman kepada peminjam isi rumah berjumlah RM64 bilion.

Dalam pada itu, Nor Shamsiah turut menegaskan isu pemilikan rumah tidak boleh diselesaikan menerusi pembiayaan semata-mata.

“Akhirnya pada hari ini, kebanyakan harga rumah masih berada pada paras yang tinggi dan perlu ada penyelesaian inovatif untuk menyelesaikan jurang perbezaan antara pembekalan dan permintaan rumah.

“Harga rumah juga sepatutnya lebih telus dan perlu ada persekitaran sewaan rumah yang menarik buat golongan yang belum bersedia untuk membeli rumah atau mereka yang tidak mahu memiliki rumah sendiri,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI