fbpx

Peniaga makanan mengeluh, bekalan ayam kurang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENIAGA makanan merupakan antara golongan yang akan turut terkesan sekiranya bekalan ayam berkurangan di pasaran. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Masalah kekura­ngan bekalan ayam di pasaran sekiranya ternakan itu dikurangkan di peringkat ladang bakal menjejaskan ramai peniaga terutama kedai makan yang menggunakan bahan mentah itu dalam masakan mereka.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, sebelum ini peniaga sudah terkesan dengan harga ayam yang tidak menentu dan kekurangan bekalan bahan mentah itu menyukarkan ope­rasi perniagaan masing-masing.

“Pihak yang berkaitan diminta lakukan sesuatu segera, saya juga ditekan oleh peniaga.

“Mereka mengeluh harga barang termasuk ayam naik, bagaimana mahu berniaga? Sekarang bekalan ayam pula dijangka berkurangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Rosli, pihaknya bimbang ramai peniaga terpaksa gulung tikar kerana kekurangan ayam boleh menyebabkan har­ganya terus melonjak tinggi.

Tambahnya, kenaikan harga ayam menyebabkan margin keuntungan peniaga yang menggunakan bahan itu merosot teruk.

“Sebagai contoh, jika dahulu nasi lemak ayam dijual pada harga RM6 sebungkus, namun terpaksa dinaikkan sehingga RM10 jadi pelanggan tidak mahu beli.

“Saya tiada data jumlah peniaga guna ayam dalam perniagaan mereka, tetapi majoriti daripada 1.8 juta peniaga makanan menggunakan ayam ketika ini,” katanya.

Beliau turut menggesa kementerian berkaitan supaya mencari jalan untuk memastikan kebergantungan negara kepada dedak import dapat dikurangkan.

“Malaysia perlu hasilkan lebih banyak dedak ayam bermula sekarang kerana kebergantungan kepada import tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI