fbpx

Mampukah kita boikot ayam, telur?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Lagu Ayam dendangan Jalil Hamid memang ada benarnya. Antara bait liriknya ialah ayam kampung dalamlah reban, ayam bandar di dalam pasar, kadang-kadang ada harga, naik harga, turun harga.

Ketika ini, ayam dan telur menjadi barang kayangan. Ia akan melebihi kayangan setiap kali musim perayaan.

Kaum Melayu yang menyambut Hari Raya Aidilfitri memang memerlukan dua bahan ini. Ia intipati utama masakan rendang, kek dan kuih raya.

Percayalah, menjelang 1 Ramadan dan 1 Syawal nanti, harga kelapa pula akan meningkat dengan alasan yang sama iaitu bekalan kurang dan permintaan meningkat.

Dengan zaman pandemik Covid-19 ketika ini, pihak tidak bertanggungjawab akan terus menggunakan alasan kononnya tiada pekerja dan kos makanan ayam sebagai alasan untuk menaikkan harga barang mentah.

Persoalannya, apa kuasa kita sebagai pengguna? Setakat memberi komen dan memaki hamun di media sosial setiap kali ternampak atau terbaca berita mengenai kenaikan nilai barang tidak cukup untuk memaksa peniaga dan pembekal menurunkan harga.

Apa yang kita ada ialah persatuan pengguna. Mereka ini menjadi pressure group kepada kerajaan dan pemain industri untuk menyebelahi pengguna.

Namun, ia tidak sekuat mana kerana akhirnya hanya kenyataan yang akan dikeluarkan. Bercakap dan terus bercakap. Tiada tindakan.

Pengguna seperti kita sepatutnya bertindak dengan tegas. Tindakan memboikot menjadi satu-satunya jalan mudah tetapi penuh liku yang boleh diambil ke atas pihak menangguk di air keruh.

Namun, sekuat mana mental dan nafsu kita menahan diri daripada tindakan tersebut? Sejarah boikot di Malaysia menunjukkan ia tidak mampu bertahan lama.

Tindakan memboikot ke atas restoran makanan segera yang didakwa kononnya mengalirkan wang kepada Israel untuk membikin peluru bagi membunuh kanak-kanak Palestin suatu ketika dahulu hanya bertahan beberapa hari.

Menerima nasib yang sama ialah sebuah kedai kopi hipster yang ada logo seakan wanita. Pun tidak kekal lama. Makin ramai anak Melayu singgah setiap kali mengisi minyak atau berbincang mengenai bitcoin dan forex.

Semakin diboikot, semakin banyak pula cawangan yang dibuka dan sentiasa penuh dengan orang. Yang makan lain, pandu lalu pun panjang. Perniagaan semakin subur.

Pelancaran Buy Muslim First juga hangat-hangat tahi ayam. Ada satu kumpulan Facebook yang diwujudkan dahulu, namun kini tidak lagi gagah bersuara.

Gara-gara politik, rangkaian televisyen TV3, Utusan Malaysia dan RTM juga pernah menerima nasib sama. Kesan daripada tindakan itu, kebanyakan daripada kita tidak menerima maklumat tepat mengenai sesuatu isu dan hanya berharap kepada penipuan internet. Rugi.

Berdasarkan situasi di atas, bersediakah kita untuk memboikot ayam dan telur yang menjadi makanan ruji masyarakat Malaysia? Saya tidak rasa kita boleh. Jadi, terimalah hakikat bahawa kita terpaksa keluarkan duit lebih untuk menikmati dua benda itu.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI