Almond London, tart nanas dan semperit susu antara kuih raya yang akan mengalami kenaikan tahun ini.

Harga Almond London, tart nanas naik RM5

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Peminat biskut Almond London, tart nanas dan semperit susu kini perlu bersiap sedia untuk membayar harga lebih untuk menikmati kuih tersebut sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri akan datang.

Ia ekoran kenaikan mendadak harga barang mentah untuk membuat kuih raya sejak lebih sebulan lalu sehingga membuatkan peniaga terpaksa mengubah strategi baharu demi menjamin keuntungan perniagaan mereka.

Kebanyakan pengusaha kuih raya mengambil keputusan untuk menaikkan harga antara RM1 hingga RM5 sebalang, namun sebahagian daripada mereka pula cuba mengekalkan harga lama, tetapi mengurangkan kuantiti kuih raya.

Seorang pengusaha kuih raya, Siti Nor Sherizan Mohd. Said, 31, yang terkenal dengan kuih tart nanas meluahkan kerisauan apabila permintaan kuih raya pada tahun ini agak berkurangan berbanding tahun-tahun sebelum­nya.

“Ada pelanggan saya yang kurang senang dengan kenaikan harga produk kami. Jujur saya katakan selepas saya naikkan harga kuih raya, jualan saya berkura­ngan sedangkan saya cuma naikkan harga sedikit sahaja.

“Sebelum ini, 50 biji tart nanas dijual pada harga RM32 sebalang, tetapi kini kini dijual RM37 kerana bahan untuk membuat kuih itu sangat mahal.

“Malah, bahan untuk inti tart nanas juga menunjukkan pe­ningkatan harga terutamanya jika diolah mengikut permintaan pelanggan seperti menggunakan inti nutella dan coklat putih,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Siti Nor Sherizan sedang menghasilkan biskut untuk tempahan pelanggannya baru-baru ini.

Siti Nor Sherizan memberitahu, dia terpaksa berbuat demi­kian kerana harga barang bakeri, telur, minyak masak, tepung serta mentega yang menjadi bahan asas dalam pembuatan kuih terlalu mahal selain sukar diperoleh di pasaran terutama telur.

“Sebab itu saya terpaksa naik­kan sedikit harga bagi setiap balang, namun pelanggan tetap akan mendapat kuantiti kuih yang sama seperti sebelum ini,” ujarnya.

Seorang lagi pengusaha kuih raya, Hasliza Ismail Mokthar, 41, pula menjangkakan antara jenis kuih raya yang akan dijual lebih mahal tahun ini berbanding kuih-kuih lain ialah Almond London, tart nanas dan semperit susu.

“Tiga kuih ini berkemungkinan besar akan naik harga tahun ini kerana bahan-bahan untuk membuatnya juga mahal. Jika menggunakan bahan bakeri yang murah, kualiti dan rasa kuih itu akan berbeza.

“Memang ada peniaga yang boleh jual pada yang lebih murah, tetapi bahan-bahan digunakan tidak berkualiti dan rasa kuihnya tidak menepati cita rasa pelanggan,” ujarnya

Hasliza memaklumkan, sebagai strategi penjualan, dia akan mengekalkan harga kuih yang dijual, tetapi mengurangkan kuantiti bagi setiap balang supaya mendapat sedikit keuntungan.

Berita berkaitan: Bekalan telur bakal susut 3 juta sehari

Berita berkaitan: Pengusaha risau pembuatan kek, biskut raya terjejas

Sementara itu, Rohana Ramlie, 39, pula berkata, dia telah membuat persediaan awal membeli bahan-bahan keperluan untuk membuat kuih raya memandangkan kebanyakan daripada bahan itu boleh bertahan lama dalam tempoh lebih tiga bulan.

Ujarnya, trend kenaikan harga barang memang menjadi isu sama setiap tahun terutamanya ketika menjelang perayaan.

“Saya mula beli sedikit demi sedikit barang-barang kuih agar tidak terbeban apabila perlu mengeluarkan kos yang besar dalam satu masa,” katanya.

Rohana memberitahu, dia telah membuka tempahan kuih raya dengan menawarkan sistem bayaran secara ansuran supaya memberi peluang kepada pe­langgannya membayar mengikut kemampuan mereka.

Katanya, walaupun harga kuih akan mengalami kenaikan sedikit tahun ini, tetapi dengan kaedah pembayaran tersebut, pembeli tidak akan begitu terasa kenaikannya.

“Tahun ini, saya mengehadkan kuih yang saya buat iaitu hanya enam jenis berbanding hampir 10 jenis pada tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Antara kuih yang dijual Rohana tahun ini ialah Almond London, semperit susu, tart nanas, swiss tart dan cookies red velvet.

Noor Lizah yang juga orang kelainan upaya ketika menjual kuih di UTC Keramat, Kuala Lumpur.

Sementara itu, seorang usahawan kuih raya di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Keramat, Kuala Lumpur, Noor Lizah Salman, 55, berkata, dia turut terbeban dengan kenaikan harga bahan mentah yang semakin tinggi setiap tahun.

Menurutnya yang juga peng­usaha kuih sejak tahun 2012, situasi itu menimbulkan kebimbangan kepada ramai peniaga jika kuih yang dihasilkan tidak mampu terjual.

“Saya kini masih memikirkan pelbagai cara untuk meneruskan perniagaan. Sebagai langkah persediaan, saya terpaksa mencari pembekal lain yang boleh menawarkan harga lebih murah dan berpatutan berbanding pembekal sedia ada.

“Pihak pembekal ketika ini juga telah menaikkan harga bahan mentah untuk membuat kuih raya,” ujarnya.

Berita berkaitan: Telur kurang setiap kali musim perayaan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN