fbpx

Peniaga pisang goreng rugi ditipu LHDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

TEMERLOH – Seorang peniaga pisang goreng mengalami kerugian sebanyak RM1,500 selepas ditipu sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian bermula apabila mangsa yang merupakan wanita berusia 42 tahun menerima panggilan telefon daripada suspek pada pukul 9.18 pagi kelmarin.

“Suspek memperkenalkan diri sebagai pegawai operasi cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya mengatakan mangsa mempunyai sejumlah cukai syarikat tertunggak yang didaftarkan atas nama mangsa di Kuantan dengan jumlah tunggakan sebanyak RM36,600.90.

“Mangsa kemudiannya disambungkan kepada Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang dan bercakap dengan Sarjan Raymond yang menyatakan mangsa mempunyai tunggakan pembayaran cukai sebelum mangsa menerima satu pautan Bank Negara Malaysia (BNM) yang perlu diisi,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Wazir mangsa yang mengisi maklumat dalam pautan berkenaan mendapati wang tunai berjumlah RM1,500 yang disimpan di dalam akaun Bank Muamalat miliknya hilang kira-kira pukul 6 petang pada hari yang sama.

Beliau memberitahu, mangsa yang berasa ditipu membuat laporan kepada pihak bank bagi menyekat segala urusan keluar masuk duit di akaunnya sebelum membuat laporan polis.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 320 Kanun Keseksaan dan siasatan giat dilakukan bagi mengesan suspek terlibat.

“Berdasarkan siasatan modus operandi dalam kes ini adalah mangsa diperdaya dengan panggilan yang menyamar sebagai pihak berkuasa sehingga mangsa mengalami kerugian,”ujarnya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI