fbpx

Penduduk dakwa Skim Tanah Rakyat diberi kepada ‘orang luar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian penduduk yang membuat bantahan aman sambil memegang sepanduk mengenai projek Skim Tanah Rakyat di Kampung Kuala Tahan, Jerantut, dekat sini hari ini.

JERANTUT – Kira-kira 30 penduduk Kuala Tahan mengadakan bantahan aman hari ini kerana tidak berpuas hati dengan pemberian tanah melalui Skim Tanah Rakyat (STR) Ladang Tembeling Jaya 1 dan 2 di Kampung Kuala Tahan, di sini yang didakwa diberikan kepada ‘orang luar’.

Penduduk termasuk golongan muda membawa sepanduk tertulis ‘utamakan penduduk tempatan. Mengapa terlalu ramai orang luar dipilih sedangkan masih ramai penduduk tempatan tidak memiliki tanah terutamanya golongan belia?’.

Wakil penduduk, Mohamad Anas Zainuddin,34, berkata, mereka berasa kecewa apabila mendakwa lebih 200 penerima STR terdiri daripada penduduk luar Kampung Kuala Tahan dan luar Jerantut.

“Hal ini menyebabkan sebahagian penduduk di sini yang tidak mempunyai tanah berasa tersisih menerima faedah skim ini sedangkan penerima luar memperoleh manfaat seterusnya meragut hak penduduk tempatan terutamanya golongan belia berkeluarga di sini.

“Orang luar kampung malah ada yang tinggal di luar daerah yang menerima faedah skim ini langsung tidak dikenali, bagaimana boleh tersenarai dalam skim ini dan adakah ada kuota pihak tertentu untuk mereka,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, projek STR itu sepatutnya untuk dinikmati kira-kira 841 orang penerima dalam kalangan penduduk Kampung Kuala Tahan, tetapi berdasarkan senarai dikeluarkan lebih 200 orang penerima didakwa dari luar kampung tersebut.

Dalam pada itu Mohd. Kamil Hakimi Rozali,31, mendakwa, projek STR itu akan dibangunkan dengan tanaman sawit dan pemilik tanah akan memperoleh saham hasil pasaran komoditi tersebut.

Katanya ia adalah antara usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar terutamanya golongan belia yang sudah berkeluarga di Kuala Tahan di sini.

“Jadi generasi baharu di sini berharap supaya kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail membantu mencari jalan penyelesaian terbaik dalam isu ini demi kebajikan dan kesejahteraan penduduk tempatan di sini,” ujarnya. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI