fbpx

Kehamilan ‘mega’ diva Hollywood

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EMPAT diva Hollywood (dari kiri) Katy Perry, Beyonce, Rihanna dan Gigi Hadid mengumumkan kehamilan mereka dengan cara yang cukup eksklusif.

SELEBRITI Hollywood sememangnya lebih selesa menyimpan rahsia peribadi terutama membabitkan berita kehamilan semata-mata demi menjaga privasi insan tersayang dalam melalui momen penuh bermakna itu.

Begitupun, apabila sudah tiba masa untuk berkongsi mengenai kesahihan khabar berkenaan, pelbagai cara dilakukan sebilangan figura popular sebagai tanda kegembiraan mereka.

Walaupun sekadar berkongsi hantaran dan pengumuman menerusi laman sosial, masing-masing tampil dengan gaya tersendiri yang pastinya meninggalkan impak kepada peminat tegar mereka.

Ada juga sebilangannya menyelitkan pengumuman tersebut dalam program televisyen selain menerusi video muzik mereka! Menarik bukan?

Beyonce

FOTO pengumuman hamil paling ikonik tentu saja milik isteri penyanyi rap Jay Z, siapa lagi kalau bukan Beyonce yang tampil mengenakan kain jaring seakan layah pengantin dengan latar hiasan bunga sambil memegang perutnya yang sudah membesar.

Penyanyi lagu Listen itu berkongsi hantaran gambar berkenaan dalam Instagramnya pada 2017 iaitu ketika hamil cahaya mata kedua mereka yang juga pasangan kembar dinamakan Rumi Carter dan Sir Carter.

Perkongsiannya memecah rekod Selena Gomez dalam Instagram apabila meraih 6.6 juta tanda suka dan lebih 350,000 komen hanya dalam tempoh lapan jam selepas dimuat naik. Malah, sejak pertama kali dikongsi, foto berkenaan mendapat 2.4 juta tanda suka.

FOTO ikonik Beyonce ketika mengumumkan kehamilan keduanya pada 2017.

Sebenarnya, pada 2011 ketika mengandungkan anak pertamanya, Blue Ivy, Beyonce mengejutkan ramai apabila secara tiba-tiba membuka jaket dan mengusap perutnya ketika mengadakan persembahan di Anugerah MTV Video Muzik.

Aksi selamba penyanyi itu tentu saja menjadi sorotan lensa kamera apatah lagi pada waktu itu ramai menantikan berita gembira daripadanya. Blue Ivy Carter dilahirkan pada 7 Januari 2012.

Rihanna

PENYANYI lagu Love The Way You Lie, Rihanna membuat kejutan berkongsi gambar bersama kekasihnya A$AP Rocky dengan mengenakan jaket Chanel yang mendedahkan bahagian perutnya.

Tampak yakin dan penuh berani, dia sengaja menyerlahkan kandungannya dengan membuka sebahagian butang jaket berkenaan sambil berganding mesra dengan penyanyi rap itu.

Secara jelas, Rihanna seperti mahu dunia merasai kebahagiaan mereka menanti kelahiran si kecil apatah lagi sebelum ini dia pernah menyatakan keinginan memiliki empat cahaya mata.

RIHANNA mengejutkan peminat apabila mendedahkan kehamilan dengan cara menayang perutnya yang semakin membesar pada minggu lalu.

Sekali gus, gambar berkenaan juga melenyapkan khabar angin berkenaan perubahan susuk tubuhnya ketika tampil di sebuah acara anugerah di Barbados yang bertebaran sejak akhir tahun lalu, namun belum pernah disahkan wakilnya.

Nyata, gambar yang dikongsi ketika di New York baru-baru ini turut menjadi medium pendedahan, sebelum sekali lagi figura berusia 33 tahun itu berkongsi satu hantaran dalam Instagram yang menunjukkan gambar perutnya secara dekat.

Minggu lalu, Rihanna yang mengenakan baju jersey menayang gambar bahagian perutnya yang semakin membesar seakan-akan sudah memasuki fasa trimester ketiga.

Katy Perry

Penyanyi lagu Fireworks, Katy Perry antara selebriti yang hamil ketika pandemik Covid-19 menyerang dunia dua tahun lalu. Namun dia tidak ketinggalan berkongsi momen istimewa tersebut dengan khalayak.

PENYANYI Katy Perry mendedahkan kehamilannya pada minit terakhir video klip lagunya berjudul Never Worn White pada 2020.

Bezanya, penyanyi itu berkongsi berita gembira bakal menimang bayi pertama menerusi video muziknya berjudul Never Worn White yang disiarkan pada 5 Mac 2020.

Pengumuman Katy sangat unik kerana memperlihatkan dirinya hamil pada durasi terakhir yang membuatkan video berkenaan sangat istimewa.

Gigi Hadid

Ketika mengandungkan cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama Zayn Malik, Khai pada 2020, Gigi Hadid membuat pengakuan tersebut secara terbuka ketika menjadi bintang undangan bagi program bual bicara The Tonigh Show kelolaan Jimmy Fallon.

Sebagai model dan figura yang diikuti jutaan pengikut dalam laman maya, ramai menyangka pasangan sensasi tersebut akan membuat pengumuman dalam acara mewah, namun sebaliknya mereka memilih untuk bersederhana.

GAMBAR ketika Gigi Hadid hamil anak sulungnya bersama penyanyi terkenal Zayn Malik pada 2020.

“Kami berharap dapat mengumumkannya dengan cara sendiri. Kami sangat gembira dan bahagia serta berterima kasih atas sokongan semua orang,” katanya pada program yang bersiaran pada 20 April 2020 tersebut.

Tiga bulan kemudian, Gigi mempamerkan bahagian perutnya yang sudah jelas membesar menerusi Instagram Live.

Walaupun hubungannya dengan Zayn sejak 2015 tidak lagi dapat dipertahankan selepas terlerai tahun lalu, demi Khai yang dilahirkan pada September 2021, mereka saling berkongsi hak penjagaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI