fbpx

Kenapa gaji kita kecil?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
IKHWAN IDERIS, WARTAWAN EKSEKUTIF

BULAN lalu, agensi berita ­Channel NewsAsia melaporkan gaji bulanan asas sebagai pekerja pembersihan am di Singapura akan dinaikkan kepada $3,260 dolar Singapura (RM10,160) menjelang tahun 2028, di bawah model gaji progresif bagi sektor berkenaan.

Ia bagi warga Singapura dan pemastautin tetap di negara republik itu.

Kosmo! pada Selasa pula me­laporkan ramai graduan di negara ini menerima bayaran bawah RM2,000 sebulan selepas menamatkan pengajian, sedangkan mereka punya kemahiran.

Mungkinkah gaji mereka ini juga akan mencecah RM10,000 pada tahun 2028?

Kelihatannya agak sukar, memandangkan gaji penengah bulanan bagi pekerja berpendidikan tertiari di Malaysia pada 2020 (data tahun 2021 belum dikeluarkan) hanyalah RM3,499, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan

Ia sebenarnya lebih rendah berbanding gaji penengah golo­ngan ini pada 2019, iaitu sebanyak RM3,901.

Gaji penengah untuk semua golongan pekerja di Malaysia pada 2020 pula adalah RM2,062.

Bagi Timbalan Presiden Gerakan Keadilan Monetari Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan reformasi sistem monetari di negara ini, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, isu pokok gaji yang kecil atau tidak naik di negara ini ialah kurangnya motivasi bagi majikan untuk menaikkan gaji pekerja mereka.

Menurutnya, budaya kesatuan pekerja di Malaysia tidak begitu kuat untuk menuntut kenaikan gaji, manakala desakan daripada kerajaan melibatkan penambahan paras gaji minimum pula tidak menyelesaikan isu gaji graduan yang berada pada paras lingkungan RM2,000.

Menaikkan gaji minimum bukan penyelesaian menyeluruh kerana ia hanya memfokuskan kepada pekerja peringkat bawah, manakala kemampuan majikan membayar gaji pula berbeza-beza mengikut jenis industri dan lokasi.

Selain itu, ia dilihat lebih berbentuk paksaan dan bukanlah sesuatu yang lestari untuk jangka masa panjang.

Pada masa sama, tambah Ahmed Razman, banyak majikan yang dibebani komitmen hutang, sehingga keutamaan operasi mereka adalah untuk membayar hutang berbanding menaikkan gaji kakitangan.

“Cadangan saya untuk penyelesaian jangka panjang ialah bank-bank pembangunan memberikan pinjaman tanpa faedah kepada perusahaan, de­ngan syarat ia digunakan kepada ekonomi tampak (real economy) seperti melibatkan pembe­lian mesin, peluasan kilang dan pengambilan pekerja.

“Satu kajian menunjukkan majoriti pembiayaan komersial yang dikeluarkan bank-bank di negara ini tidak masuk kepada ekonomi tampak, sebaliknya digunakan untuk membayar hutang atau pembelian saham.

“Peniaga pastinya gembira untuk menerima pembiayaan tanpa faedah ini dan pembangunan kapasiti hasil pemberian pinjaman mampu mendatangkan keuntungan lebih baik yang tidak sepatutnya hanya dinikmati majikan, malah diagihkan kepada golongan pekerja,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Ahmed Razman menjelaskan peningkatan keuntungan syarikat dan gaji lebih baik yang dinikmati pekerja akan diterjemahkan kepada kutipan cukai lebih tinggi.

“Langkah seterusnya, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu menjejaki peningkatan hasil cukai daripada kumpulan yang menerima manfaat daripada pembiayaan tanpa faedah ini untuk diagihkan kepada institusi kewangan yang memberikan pinjaman.

“Penyelesaian ini mampu memberi situasi menang-menang kepada semua pihak,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI