fbpx

Izwan berharap UniKL tidak tarik diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IZWAN (kiri) berharap UniKL terus memeriahkan saingan MHL meskipun timbul khabar angin mengatakan skuad juara bertahan tersebut akan menarik diri daripada saingan musim ini.

BEKAS penyerang kebangsaan, Izwan Firdaus Ahmad Tajudin berada dalam dilema untuk menghadapi saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini yang akan membuka tirainya bermula 18 Februari ini hingga Jun depan.

Izwan, 33, mendedahkan, dia turut menerima tawaran daripada pasukan lain tetapi pada masa sama masih mahu menyarung jersi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang sudah diwakilinya sejak 2014.

Justeru, pemain yang mesra disapa dengan gelaran Pakdin itu amat berharap UniKL terus memeriahkan saingan MHL selepas timbul khabar angin mengatakan skuad juara bertahan tersebut akan menarik diri daripada saingan musim ini.

“Sebelum ini banyak pasukan bersaing sengit seperti TNB, Maybank, Terengganu dan UniKL tetapi kalau UniKL tarik diri, memang hilang seri saingan liga musim ini.

“Jujurnya saya sudah lama dengan UniKL sejak 2014. Daripada pasukan ‘ceroi’ (belasahan) dan kemudian berkembang sehingga memenangi macam-macam gelaran sejak kebelakangan tahun ini.

“Saya masih harapkan UniKL hantar pasukan dan menunggu kenyataan pihak pengurusan. Saya tidak berani mahu buat keputusan setakat dengar khabar angin sahaja,” katanya ketika dihubungi Kos­mo! semalam.

Difahamkan, beberapa pemain UniKL sudah mula menyertai pasukan-pasukan lain musim ini seperti Mohamad Sukri Abdul Mutalib dan Pavandip Singh Gurdip Singh yang bersama Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan Moha­mad Ashran Hamsani dengan Maybank.

Sebagai rekod, UniKL pada musim lalu berjaya mempertahankan Piala Sumbangsih dan kejuaraan MHL tetapi terlepas peluang untuk bergelar juara treble apabila tewas di pentas final Piala TNB kepada THT.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI