IPOH – Kerja-kerja membaiki kerosakan kecil akan dilakukan segera oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada kediaman penduduk yang rosak dalam kejadian ribut dua hari lalu.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, ia melibatkan peruntukan sebanyak RM40,000
bagi kerja-kerja yang berlaku di empat kawasan terbabit.
Menurut beliau, pihaknya menerima aduan sebanyak 219 buah rumah mengalami kerosakan dan perlu dibaiki segera.
“Kita telah melakukan tinjauan untuk menilai kerosakan terutamanya pada bahagian bumbung.
“Berdasarkan penilaian pihak jurutera MBI, kos permulaan sebanyak RM40,000 bakal diperuntukan di kawasan terjejas,” ujarnya selepas turun padang meninjau keadaan di Kampung Tawas dan Tasek di semalam.
Sehari selepas kejadian tersebut, MBI telah mengerahkan seramai 100 orang petugas untuk melakukan kerja-kerja membersihkan kepingan zink serta dahan pokok tumbang.
Pada lawatan tersebut, Rumaizi turut menyampaikan bantuan bakul makanan MBI Prihatin sumbangan Econsave bernilai RM,5000 untuk diagihkan kepada penduduk terjejas.
Menurut Rumaizi, MBI hanya membantu membaiki kerosakan kecil sahaja manakala bagi kerosakan besar tindakan selanjutnya akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan.
Dalam kejadian angin ribut mulai pukul 6 hingga 6.30 petang Ahad lalu telah menyebabkan kerosakan rumah penduduk di beberapa lokasi iaitu Kampung Tawas, Taman Tasik Damai, Taman Desa Seri Chepor, Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya dan lain-lain kawasan berhampiran. – K! ONLINE














