fbpx

Tauke kari kepala ikan pasarkan pes masakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Mutalib (tengah) pada majlis pelancaran pes kari kepala ikan dan ikan bakar di Pasir Tinggi, Hulu Terengganu baru-baru ini.

PETALING JAYA – Berpegang pada prinsip yang mudah dalam hidup Pengasas Warung Santai D’River, Abdul Mutalib Moha­mad, 35, setiap kali mahu menjamu tetamu, pastinya beliau akan menyediakan hidangan yang terdiri daripada makanan kegemarannya yang menyelerakan.

Bertitik-tolak daripada niat tersebut dan minat dalam bidang perniagaan, anak muda yang ketika itu mencari rezeki sebagai pekerja pelantar minyak, telah cuba memberanikan diri membuka warung kari kepala ikan di Pasir Tinggi, Hulu Terengganu pada tahun 2016.

Beliau berkata, menu kari kepala ikan menjadi taruhannya ketika itu kerana ia adalah antara air tangan ibunya, Saadah Awang, 65, yang menjadi kegemarannya sejak kecil.

“Sebelum ibu bernikah dengan ayah saya, Muhammad Abdullah, 73, yang merupakan anak jati Terengganu, ibu bekerja sebagai tukang giling rempah di negara asalnya, Singapura.

“Oleh kerana terlalu gemar makan kari kepala ikan, saya belajar membuatnya dengan ibu sebelum memberanikan diri membuka warung berasaskan makanan itu walaupun tidak memiliki asas kulinari,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Abdul Mutalib membuka warung tersebut di tebing Sungai Terengganu dengan modal cuma RM2,000.
Langkah kanannya itu ter­nyata menjadi kerana kelazatan kari kepala ikan mula menjadi sebutan ramai dan tular di media sosial.

“Pelanggan saya bukan sahaja dalam kalangan warga tempatan yang mula gemar kari pedas dengan cita rasa sebenar malah mereka datang dari seluruh negara.

“Setiap hari, Warung Santai D’River perlu menyediakan sekurang-kurangnya dua tan kepala ikan pelbagai jenis bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.

Lebih menarik, ramai pelanggannya terutama yang datang dari luar Terengganu se­ring bertanya tentang resepi kari kepala ikan.

Sebagai memenuhi permintaan yang semakin bertambah dan pelanggan suka membungkus makanan untuk dibawa pulang telah memberi idea kepadanya untuk menceburi bidang pembuatan pes masakan tersebut pada awal tahun ini.

“Selain pes kari kepala ikan, saya juga menghasilkan pes kari daging dan ayam serta ikan bakar yang berharga RM9.90 setiap pek seberat 250 gram.

“Saya memberi jaminan pes masakan itu yang dikawal mutunya memiliki rasa yang sama se­perti disajikan di Warung Santai D’River,” terangnya.

Abdul Mutalib berkata, pes kari dan ikan bakar tersebut dikilangkan dengan bantuan syarikat pengeluar pes makanan, Adeq Sue Resources Sdn. Bhd. (Adeq Sue) yang diusahakan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Hairuddin Omar.

Ujar beliau, perkenalannya dengan syarikat Adeq Sue yang juga pernah mendapat bim­bingan daripada Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) bermula pada akhir tahun sewaktu mereka bersama menjalani kursus penghasilan produk makanan dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Hasil rundingan kami, Adeq bersetuju untuk mengeluarkan pes kari dan ikan bakar ini dengan modal RM10,000,” katanya

“Pes tersebut boleh didapati secara terus di Warung Santai D’River Pasir Tinggi di sini dan dua cawangannya di Kuala Ibai dan Paka, Dungun selain dipasarkan secara online melalui para pengedarnya.

Tambah beliau, syarikat sedang berbincang dengan pasar raya, Sabasun Hyperruncit Sdn. Bhd. di Terengganu untuk memasarkan produk makanan tersebut dalam masa terdekat.

“Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga te­lah menyatakan komitmen untuk membantu mempromosi pes ini di Pusat Pameran dan Konven­syen Antarabangsa Dubai, Emeriah Arab Bersatu pada bulan depan.

“Saya optimis terhadap produk pes kari dan ikan bakar D’River untuk menguasai pasaran domestik yang lebih luas sebelum menembusi pasaran negara di Asia Tenggara,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI