fbpx

Nadal idam gelaran kedua di Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NADAL hanya meraih gelaran Grand Slam di Terbuka Australia sekali sahaja dalam kariernya apabila muncul juara pada 2009. – AFP

MELBOURNE – Hanya selangkah sahaja lagi buat pemain tenis No.5 dunia, Rafael Nadal untuk melakar rekod baharu 21 kemenangan Grand Slam selepas mara ke perlawanan akhir Terbuka Australia.

Pemain Sepanyol itu dalam laluan untuk memenangi kejohanan Terbuka Australia kedua dalam kariernya selepas menewaskan Matteo Berrettini 6-3, 6-2, 3-6, 6-3 pada aksi separuh akhir kelmarin.

Justeru, Nadal kini berpeluang untuk memahat rekod baharu sebagai pemain paling banyak memenangi kejohanan Grand Slam kerana ketika ini dia berkongsi kedudukan de­ngan Novak Djokovic dan Roger Federer menerusi 20 kejua­raan.

Bagaimanapun, pemain berusia 36 tahun itu enggan menjadikan rekod tersebut sebagai sasaran utama, sebalik­nya dia mahu memberikan fokus sepenuhnya bagi memenangi Terbuka Australia buat kali kedua selepas edisi 2009.

“Bagi saya, ini adalah kejohanan Terbuka Australia seperti kebiasaan. Saya sudah beritahu sebelum ini, saya masih lagi bergelut dengan kecederaan, tetapi akan cuba lakukan yang terbaik nanti.

“Saya ada beberapa peluang terbaik sebelum ini, iaitu ketika berdepan Novak (Djokovic) pada 2012 dan Roger (Federer) dalam edisi 2017. Saya memenanginya sekali pada 2009, namun tidak sangka masih ada peluang tahun ini,” katanya.

Pada perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung di Arena Rod Laver hari ini, Nadal akan membuat perhitungan dengan pemain No.2 dunia dari Rusia, Daniil Medvedev yang menewaskan Stefanos Tsitsipas. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI