fbpx
BIARPUN Sibuk dengan kerja-kerja pentadbiran di KUIS, namun kerja-kerja dakwah Dr. Farid Ravi tetap berjalan.

Ibu terima hidayah Islam momen paling berharga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KERJA-KERJA dakwah sememangnya mempunyai cabaran tersendiri terutamanya oleh mereka yang sebelum dipanggil mualaf dan perlu dihadapi dengan tenang dan sabar agar diterima dengan baik oleh anggota masyarakat.

Kolum Wawancara minggu ini membawakan figura hebat, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Farid Ravi Abdullah yang membicarakan tentang cabaran yang dihadapinya sepanjang bergelar pendakwah dan perancangan masa depannya.

Di samping itu, beliau turut memberitahu pernah ditawarkan untuk bertanding dalam pilihan raya beberapa tahun lalu dan menolaknya dengan cara baik dan berhemah kerana lebih sayangnya kerja dakwah yang dilakukannya sejak sekian lama.
——————————————————————————————————————————————-

NAMANYA sering menjadi sebutan masyarakat Islam di negara ini atas perkongsian dakwah yang sarat dengan mesej yang bermanfaat.

Bergelar saudara baharu apabila nekad memeluk agama Islam pada usia 18 tahun, martabat personaliti ini diangkat tinggi oleh Allah SWT sehingga beliau menjadi seorang pendakwah dan tempat rujukan umum.

Latar pendidikan yang sempurna dan cukup kuat selain berpengalaman luas dalam bidang akademik mahupun pentadbiran sejak tahun 2000 membolehkan beliau dilantik Rektor dan Ketua Eksekutif di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Bagi mengenali lebih dekat figura hebat ini, wartawan Kosmo! Ahad, KHAIRIYAH HANAFI menemu bual Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Farid Ravi Abdullah di pejabatnya di Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor baru-baru ini.

Kosmo! Ahad: Tahniah kepada Datuk selepas dilantik sebagai Rektor/Ketua Eksekutif Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Apa perancangan Datuk untuk membawa KUIS sebagai institusi pengajian lebih berwibawa pada masa depan?

FARID RAVI: Ada beberapa perancangan yang mahu dilakukan iaitu menaik taraf kolej universiti ke universiti penuh, meramaikan pelajar antarabangsa dan memperkemaskan pengambilan di peringkat pasca-siswazah sarjana dan doktor falsafah (PhD), selain menyasarkan pengambilan 10,000 pelajar.

Saya juga mahu memperkasa yayasan yang akan menjadi entiti penting bagi membiaya dan membantu mereka kurang berkemampuan melanjutkan pengajian dengan tagline, everyone can study.

KUIS bukan sebuah institusi berasaskan keuntungan semata-mata, tetapi ke arah menjaga kelangsungan pembelajaran supaya penerimaan ilmu berjalan secara sistematik.

Dalam masa terdekat, KUIS akan dijadikan sebagai kampus mesra autisme, yang mana kita akan kenal pasti dan menyantuni golongan ini bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka supaya mampu hidup sama seperti insan normal.

Selepas menerima jawatan di KUIS, adakah Datuk memperlahankan kerja-kerja dakwah disebabkan kesibukan masa atau ia memberikan semangat berbeza dalam kehidupan sebagai pendakwah?

Saya perlu susun jadual mengikut kelapangan. Jika dahulu, saya ada banyak masa, tetapi sekarang apabila sudah menjadi ketua eksekutif dan mentadbir sebuah kolej universiti, saya perlukan komitmen dan fokus sangat tinggi terutamanya pada pengurusan dan pentadbiran di KUIS kerana tanggungjawabnya besar.

Walaupun perlu menyusun jadual program dakwah mengikut kesesuaian masa, tetapi ia tetap tidak serancak dahulu.

Jika sebelum ini, dalam seminggu saya boleh menghadiri dua hingga tiga sesi program, tetapi berbeza kini kerana jumlah itu hanya boleh dilakukan dalam tempoh sebulan.

Bagaimanapun, program-program televisyen seperti Tanyalah Ustaz dan Forum Ehwal Perdana masih lagi disertai seperti dahulu kerana ia tidak mengganggu waktu kerja saya, sekali gus memberi peluang kepada saya sebagai seorang rektor dan berkelulusan agama untuk bercakap kepada masyarakat.

Ini kerana, sudah menjadi satu tanggungjawab bagi seorang ahli akademik untuk berkongsi ilmu yang bermanfaat dengan orang ramai.

DR. FARID RAVI (kanan) lebih senang menyantuni masyarakat dengan kerja-kerja amal dan dakwah daripada terlibat dengan politik.

Sebagai pendakwah, apakah cabaran terbesar Datuk dalam menjalankan kerja-kerja dakwah pada masa kini lebih-lebih lagi kita hidup di zaman media sosial yang penuh dengan pelbagai godaan dan tipu muslihat?

Cabaran pada hari ini adalah untuk memastikan penyampaian dakwah benar-benar memberi kesan.
Situasi hari ini yang masyarakatnya boleh mendapatkan banyak maklumat daripada pelbagai sumber di media sosial sehingga mempengaruhi mereka. Ada juga orang yang mendengar daripada individu yang tidak bertauliah.

Apabila mereka berpegang pada satu-satu pengetahuan daripada pihak-pihak tertentu, sukar untuk memperbetulkan doktrin tersebut.

Nasihat saya kepada masyarakat supaya memperoleh ilmu daripada ahli yang sebenar. Mengambil contoh, jika seseorang ingin menjadi chef yang hebat, mereka perlu mendapatkan ilmu daripada chef berpengetahuan luas dalam bidang itu.

Ini sama seperti bab agama yang mana individu memerlukan pendapat daripada agamawan.
Mengambil ilmu daripada orang yang benar-benar khusus dalam bidang tersebut perlu agar ilmu itu benar-benar mendisiplinkan mereka.

Beberapa tahun lalu, Datuk pernah dikaitkan dengan dunia politik dan spekulasi menyatakan bakal bertanding untuk parti politik tertentu, namun semuanya hanya khabar angin. Adakah pada masa kini, Datuk masih tidak berminat untuk terlibat dalam politik dan hanya menumpukan kerja-kerja dakwah?

Buat masa ini, saya tidak berminat untuk menyertai dunia politik kerana mahu memberi tumpuan terhadap pembangunan KUIS.

Saya lihat, pentas saya sebagai ahli akademik dan pendakwah lebih luas berbanding aktif dalam politik kerana ia akan mengehadkan kerja-kerja dakwah.

Sebenarnya saya pernah beberapa kali ditawarkan untuk bergiat dalam politik.
Pada tahun 2010, saya pernah ditawarkan untuk bertanding di Parlimen Hulu Selangor oleh sebuah parti dan saya menolaknya dengan cara berhemah.

Memang ada hasrat untuk bergiat dalam politik, tetapi jiwa saya belum bersedia untuk menempuh cabaran getir sebagai ahli politik.

Dalam dakwah pun, ada pelbagai cabaran, apatah lagi dalam dunia politik.
Saya minat politik kerana saya ini berjiwa masyarakat. Saya suka berjumpa orang, menyantuni dan membantu sehingga orang kata macam ahli politik.

Saya rasa tidak akan terlibat dalam politik untuk masa terdekat.
Bagaimanapun, pada masa akan datang mungkin dipertimbangkan, kerana kini saya hanya memikirkan untuk menyelesaikan misi saya di KUIS terlebih dahulu.

Ramai mendakwa, kebanyakan ustaz selebriti masa kini menjadikan gelaran itu sebagai batu loncatan untuk mencipta peluang hidup senang dan mewah? Bagaimana Datuk melihat persepsi seperti ini?

Bagi saya, gelaran selebriti ini diberikan oleh masyarakat.
Ustaz selebriti ini ramai orang kenal kerana berpeluang muncul di televisyen, walhal ustaz di kampung juga mengutarakan perkara sama.

Jika berniat menjadikan gelaran itu untuk hidup senang, mereka perlu bermuhasabah diri kerana sebagai pendakwah, bukan itu tujuannya.

Rezeki Allah yang beri, tetapi kerja dakwah memang perlu dilakukan.

Apabila kita rasa sudah ada nama dan cukup glamor, itu yang ‘bahaya’. Akan timbul masalah apabila mereka pandai demand.

Bagi saya, Tuhan angkat kita sekejap sahaja dan Dia juga boleh jatuhkan kita dalam sekelip mata.

Apabila sudah ada nama, gunakan peluang untuk berdakwah sebaik mungkin.
Ini bukan laluan untuk mencari kesenangan atau kekayaan.

MENURUT Farid Ravi, dapat mengislamkan ibunya adalah nikmat paling besar dalam hidupnya.

Apakah nikmat kurniaan Allah paling besar yang Datuk dapat rasakan sejak memeluk Islam?
Nikmat paling besar saya adalah dapat mengislamkan ibu kandung sendiri.

Jika orang tanya tentang nikmat selainnya, jawapannya tiada.
Jawatan, pangkat dan semua harta tidak dapat menandingi hidayah yang Allah berikan kepada ibu saya.

Saya lahir sebagai anak yatim apabila ayah meninggal sewaktu berusia empat bulan dalam kandungan ibu.

Dialah yang bersusah payah membesarkan saya dan melihat keperitan dilaluinya membesarkan saya dan kakak.

Jadi, apabila saya memeluk Islam dan bekerja, saya tidak tinggalkan ibu.

Saya pujuk ibu sehingga Allah akhirnya beri hidayah kepadanya sekitar Mac 2001 sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada Mei tahun yang sama.

Saya amat bersyukur ibu sempat menjadi orang Islam selama tiga bulan sebelum meninggal dunia.

Dalam dunia akhir zaman ini, bukan hanya orang biasa yang ‘bertelagah’ terutamanya di media sosial, tetapi juga mereka yang ada pendidikan agama yang memperli, melabel dan memperlekeh serta menganggap diri lebih mulia daripada orang lain. Apa pandangan Datuk dalam hal ini?

Perselisihan yang berlaku dalam kalangan ustaz di media sosial perlu dilihat adakah ia berlaku disebabkan oleh perselisihan sewajarnya membawa kepada perpecahan ataupun menggambarkan kepelbagaian pandangan.

Jika pandangan yang membawa kepada kepelbagaian tidak perlu bergaduh, tetapi andai ia membawa kepada perpecahan barulah kita tampil membetulkan keadaan.

Saya berharap para pendakwah ini memahami fiqh semasa merangkumi watak pendakwah dalam membuat persiapan dalam dunia dakwah.

Banyak lagi isu yang masyarakat ingin tahu seperti ‘rawatan’ terbaik untuk membetulkan mereka, antaranya solat tidak sempurna, isu kekeluargaan, kes pembuangan bayi dan benda-benda utama lain yang.

Jangan pergi kepada isu-isu kecil kerana ia tidak menggambarkan kematangan.

Saya fikir, para asatizah kita perlu cermat keluarkan pandangan, buatlah study environment sebelum bercakap.

Saya minta agar ustaz ini jangan berhenti belajar. Sambung pengajian dan berdampingan dengan kitab supaya ada peluang untuk mengakses maklumat dengan lebih luas.

Ilmu perlu diberi keutamaan supaya tidak nampak kebudak-budakan di media sosial dan memberi gambaran tidak baik kepada orang lain terutamanya individu bukan Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN