fbpx

Tengku Zafrul perjelas isu berbangkit berkait Genting Hong Kong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul.

PUTRAJAYA – Keputusan untuk memberikan pinjaman kepada mana-mana pihak bukan ditentukan oleh Menteri Kewangan, Kementerian Kewangan (MOF) atau pemegang saham tetapi oleh bank-bank yang terlibat itu sendiri.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, setiap bank mempunyai proses usaha wajar dan penilaian kredit oleh Jawatankuasa Kredit masing-masing bagi menilai keupayaan bakal peminjam untuk membayar balik pinjaman mereka.

“Dari segi dasar, Bank Negara Malaysia telah menetapkan garis panduan yang perlu dipatuhi dan selagi bank-bank ini mematuhi garis panduan yang ditetapkan mereka bebas untuk memberi pinjaman mengikut budi bicara mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab isu yang dibangkitkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang pemberian pinjaman kepada Genting Hong Kong yang antaranya melibatkan bank-bank dari Malaysia.

Tengku Zafrul berkata, turut dibangkitkan adalah tentang peranan Khazanah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai pemegang saham di dalam bank yang terlibat.

“Pemegang saham tidak terlibat di dalam operasi harian sesebuah syarikat dan operasi harian bank diserahkan kepada pengurusan bank itu sendiri maka jika Menteri Kewangan atau pemegang saham campur tangan di dalam urusan harian bank-bank di Malaysia, jelas sekali ini tidak betul dari sudut governans dan tadbir urus.

“Saya yakin, sebagai seorang bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar juga sedia maklum tentang perbezaan antara peranan ahli lembaga pengarah dan pengurusan syarikat,” ujar beliau.

Mengulas lanjut berkenaan isu pinjaman tana cagaran pula, beliau menegaskan ia bukan sesuatu yang luar biasa dan pihak bank boleh meluluskan pinjaman tanpa cagaran berdasarkan kesanggupan mereka mengambil risiko pada peringkat dalaman, penilaian kredit yang memenuhi kriteria dan kelulusan berdasarkan proses tadbir urus dalaman.

“Tambahan pula, dalam kes Genting Hong Kong, pinjaman telah diluluskan sebelum Covid-19 melanda. Genting Hong Kong ini adalah syarikat dalam sektor libur termasuklah pelancongan dan apabila Covid-19 melanda, banyak syarikat yang bergantung kepada pelancongan terjejas yang sudah tentu tidak dapat dijangka semasa pinjaman diluluskan.

“Harus diingat bahawa bukan sahaja bank tempatan yang memberikan pinjaman tanpa cagaran kepada Genting Hong Kong namun bank-bank dari luar negara turut terlibat dan mereka juga perlu mematuhi garis panduan dalaman serta garis panduan bank pusat masing-masing sebelum memberikan pinjaman,” katanya.

Tambah beliau, bagi mengulas mengenai pemberian pinjaman kepada syarikat perjudian seperti Genting, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa sektor perbankan Islam Malaysia amat progresif dan ia membolehkan perbezaan di antara aset-aset syariah dan konvensional.

“Jadi, kalau isu ini benar-benar penting, mengapa semasa Datuk Seri (Anwar) menjadi Menteri Kewangan, tiada arahan dikeluarkan kepada bank-bank tempatan supaya tidak memberi pinjaman kepada Kumpulan Genting?

“Pengisytiharan Genting Hong Kong sebagai muflis amat dikesali namun ingin saya tegaskan bahawa bank-bank yang terlibat dan sektor perbankan Malaysia secara keseluruhannya amatlah berdaya tahan dalam mengharungi pelbagai cabaran operasi perniagaan semasa,” katanya.

Tengku Zafrul memaklumkan, sistem perbankan Malaysia telah diperkukuhkan dan kini lebih berdaya tahan di mana kini nisbah pinjaman tak berbayar hanya 1.4 peratus termasuklah peruntukan pinjaman tidak berbayar (NPL) separa bagi pinjaman oleh Genting Hong Kong.

“Syarikat Liabiliti Terhad (LLC) pula kekal kuat pada tahap 131.5 peratus berbanding 55.9 peratus pada 1998, jadi sistem kewangan Malaysia kekal kukuh dan tidak timbul sebarang masalah kecairan di pasaran,” ujar beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI