fbpx

Kualiti udara dekat Pulau Burung tidak sihat pagi ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba ketika cuba memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal baru-baru ini. Foto IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sekitar kawasan kebakaran tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal di sini yang memasuki hari ke-18 menunjukkan bacaan tidak sihat pagi ini.

Tinjauan Kosmo! di laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) mendapati peningkatan bacaan IPU di stesen khas Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Byram di Nibong Tebal.

IPU yang dicatakan pada pukul 6 pagi adalah 98 iaitu sederhana, manakala mula menunjukkan bacaan tidak sihat iaitu 103 pada pukul 7 pagi, diikuti 119 (tidak sihat) pada pukul 8 pagi dan 132 (tidak sihat) pada pukul 9 pagi.

Ia menunjukkan bacaan IPU dalam trend meningkat dan merupakan satu-satunya stesen IPU tidak sihat di seluruh negara setakat pagi ini.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Bagaimanapun empat lagi stesen IPU di negeri ini merekodkan bacaan pada tahap sederhana pada pukul 10 pagi iaitu Seberang Jaya (82), Seberang Perai (75), Minden (68) dan Balik Pulau (69).

Kosmo! Online semalam melaporkan secara keseluruhannya, kebakaran di tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal terkawal dengan kira-kira 65 peratus daripada kebakaran seluas 11.3 hektar telah berjaya dipadamkan.

Kejadian itu membabitkan kawasan tapak pelupusan sampah yang berkeluasan kira-kira 16.2 hektar.

Seramai 86 keluarga dengan kira-kira 400 penduduk yang tinggal berdekatan sebelum ini dilaporkan terpaksa dipindahkan bagi memastikan keselamatan nyawa mereka selain sepuluh buah sekolah turut ditutup selama tiga hari. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI