fbpx

‘Wartawan cilik’ derita talasemia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD HAZIQ bergambar selepas membuat hebahan mengenai kesedaran pengambilan vaksin Covid-19 di Sungai Petani baru-baru ini.

SUNGAI PETANI – Di sebalik kepetahannya bercakap, seorang kanak-kanak yang menjadi popular selepas videonya melaporkan tentang penemuan seekor ular sawa di sebuah pasar awam di Bukit Selambau dekat sini baru-baru ini sebenarnya penghidap talasemia.

Muhammad Haziq Mohd. Asyraf, 12, disahkan menghidap penyakit itu pada usia lima tahun dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini secara berkala.

Menurut pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Selambau itu, keadaan kesihatannya tidak menentu dan perlu mengambil ubat selain suplemen asid folik setiap hari.

“Saya juga pernah masuk wad hospital dan buat pemindahan darah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Penghulu Tua, Bukit Selambau di sini semalam.

Talasemia adalah sejenis pe­nyakit genetik sel darah merah yang mana pesakit tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang berkualiti dalam kuantiti yang mencukupi kerana genetik yang mengawal penghasilan hemoglobin telah terjejas.

Hemoglobin merupakan satu protein di dalam sel darah merah yang berfungsi untuk membawa oksigen ke seluruh tisu-tisu di dalam badan kita. Talasemia ialah penyakit genetik atau keturunan.

Muhammad Haziq berkata, walaupun menghidap penyakit itu, ia bukan penghalang untuk bergerak aktif seperti kanak-kanak normal lain.

“Cuma saya rasa cepat letih, tetapi apa yang penting, saya perlu jaga kesihatan dengan mengambil asid folik seperti diminta doktor,” katanya yang me­rupakan anak sulung daripada dua beradik.

Ketika ditanya tentang pene­rimaan orang ramai selepas vi­deonya itu tular, kata Muhammad Haziq, dia berasa seronok kerana dirinya semakin popular dan dikenali ramai.

“Semasa saya pergi mendapatkan rawatan di hospital semalam, orang ramai termasuk jururawat mahu mengambil gambar bersama saya.

“Saya rasa seperti artis, ke mana pergi pun, orang kenal, tetapi saya kena ingat bahawa apabila dah jadi terkenal, saya tak boleh sombong,” katanya.

Menurutnya, dia mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang cef dan mempunyai kedai bakeri sendiri.

“Saya memang suka masak, hari-hari saya akan masak. Saya juga pernah menerima tempahan burger Malaysia daripada kakitangan hospital,” ujarnya.

Selain itu katanya, impiannya yang belum tercapai ialah menaiki jentera bomba.

“Saya memang suka tengok video tentang bomba, Ang­katan Pertahanan Awam (APM) dan ambulans di YouTube,” ujarnya.

Sementara itu ibunya, Shakilla Zainol, 33, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada pihak istana memaklumkan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan untuk menghadiahkan anaknya telefon bimbit.

“Selain itu, APM juga memaklumkan mahu memberikan sijil penghargaan buat Haziq dalam satu program di Langkawi,” katanya.

Kosmo! pada 24 Januari lalu melaporkan aksi bersahaja Muhammad Haziq ‘melaporkan’ secara langsung penemuan seekor ular sawa di sebuah pasar awam di Bukit Selambau menerusi Facebook menarik perhatian ramai. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI