fbpx

Pemilik bengkel besi ditahan, polis rampas dadah RM2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shuhaily (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang di George Town hari ini. Foto IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket disyaki pengedaran dadah selepas menahan empat individu dalam empat serbuan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) dekat sini minggu lalu.

Selain penahanan suspek warga tempatan berusia 30 hingga 43 tahun itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM2 juta dalam operasi selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya menahan supek pertama iaitu pemilik bengkel besi berusia 43 tahun di tepi Jalan Bukit Minyak, Bukit Mertajam bersama dadah disyaki jenis syabu seberat kira-kira 3,162 gram (g) bernilai RM113,832.

Menurutnya, isteri suspek berusia 30 tahun kemudiannya ditahan di sebuah rumah di Bukit Mertajam, manakala polis turut menemui dadah disyaki syabu seberat 20,800 g bernilai RM748,000 bersama 1,289 g dadah ketamin bernilai RM70,895 dan 58,750 biji pil Erimin 5 bernilai RM881,250 di rumah itu.

“Hasil soal siasat telah membawa kepada penahanan suspek ketiga yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Butterworth bersama serbuk putih disyaki dadah ketamin dengan anggaran berat 3,250 g bernilai RM178,750.

“Seterusnya, polis juga berjaya menahan seorang lagi lelaki dipercayai ahli sindiket ini di kawasan Butterworth,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Mohd. Shuhaily berkata, sindiket itu dipercayai aktif dalam aktiviti pengedaran dadah bagi pasaran tempatan sejak tahun lalu, manakala kesemua suspek negatif ujian saringan air kencing.

Kesemua mereka direman selama tujuh hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, dua anggota polis berpangkat Koperal dan Lans Koperal di negeri itu turut ditahan selepas didapati positif dadah dalam pemeriksaan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bersama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) pada Isnin dan Selasa lalu.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI