fbpx

Apek, Syanie, Zarina Anjoulie lengkapkan impian Mawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAWI bersama barisan pelakon Hantu Kuat Ketawa, Zarina Anjoulie, Saiful Apek dan Syanie.

Setelah hampir dua tahun meluncurkan filem sulung berjudul Tiada Tajuk, Mawi kembali mempertaruhkan bakat kepengarahannya menerusi karya terbaharu berjudul, Hantu Kuat Ketawa.

Mawi atau atau nama sebenar Asmawi Ani, 39, percaya naskhah komedi yang kembali menggandingkan pelawak otai, Saiful Apek dan Syanie Hisham bakal memberi impak istimewa, selain menerapkan pengajaran kepada penonton.

FILEM Hantu Kuat Ketawa mengisahkan sekumpulan penipu yang berdepan misteri ketika melarikan diri dan bersembunyi di sebuah rumah inap desa di kawasan pedalaman.

Apek, Syanie

“Sejujurnya saya tidak sangka Apek dan Syanie bersetuju untuk digandingkan tetapi kedua-dua otai itu terus bersetuju untuk terlibat dalam filem saya setelah mengetahui mereka bakal berlakon bersama.

“Apek dan Syanie merupakan bintang ketika kita membesar kerana filem-filem mereka banyak membuat kita ketawa sehingga pecah perut. Menerusi naskhah terbaharu ini peminat dapat melepaskan rindu terhadap duo itu.

“Namun, ini satu cabaran bagi saya kerana perlu mengarah pelakon senior yang jauh berpengalaman, apabila kita nak meminta sesuatu daripada pelakon seperti Apek dan Syanie, perasaan segan itu wujud.

“Tetapi alhamdulillah mereka memberi komitmen dan kerjasama penuh sepanjang penggambaran dilakukan,” kata Mawi usai majlis pelancaran filem Hantu Kuat Ketawa di ibu kota, minggu lalu.

Mengulas mengenai filem kedua arahannya, Mawi menyifatkan Hantu Kuat Ketawa yang bakal disiarkan menerusi Astro First bermula 27 Januari nanti sebagai komedi segar.
Naratif atau jalan penceritaan juga sarat dengan mesej tersembunyi untuk disampaikan kepada orang ramai.

“Antara mesej yang saya mahu penonton sedar antaranya kita kena sentiasa berhati-hati dengan pelbagai penipuan wujud sekarang ini seperti pelaburan dan scammer.

“Selain itu apabila diduga dengan kesenangan duit dan harta yang banyak, kita boleh berubah menjadi orang yang berbeza, membuatkan kita lalai sehingga tertutup mata, menjadi sombong, riak dan takbur.

“Kita tidak sedar kita sedang beristidraj yang mana mengingkari perintah agama, tetapi Tuhan beri kekayaan, perkara itulah yang saya ingin kongsikan,” tambah pelantun lagu Kalah Dalam Menang itu.

MAWI (dua dari kiri) bersama barisan pelakon Hantu Kuat Ketawa, Anas Tahir, Zarina Anjoulie, Saiful Apek dan Syanie.

Mujur Anju bersetuju

Selain Apek dan Syanie, filem terbitan Al Najwa Productions dan MW Entertainment tersebut turut dibintangi barisan pelakon popular Zarina Anjoulie, Along Cham, Anas Tahir, Zalif Sidek, Kimmy Low dan Deen Maideen.

Mengakui bernasib baik Zarina Anjoulie atau mesra dipanggil Anju mahu menyertai barisan pelakon utamanya, Mawi bersyukur Anju bersetuju bekerjasama bersamanya selepas sekian lama menolak pelawaan berlakon daripada produksi lain.

“Saya kaget apabila Anju menerima baik pelawaan untuk berlakon. Dia bahkan turut teruja untuk menjayakan naskhah komedi seram ini,” ujarnya lagi.
Filem Hantu Kuat Ketawa mengisahkan empat orang scammer (penipu) cuba melarikan diri dan bersembunyi di sebuah rumah penginapan yang terletak di pedalaman.

Penceritaan menjadi lebih dramatik apabila mereka kemudian diganggu bunyi suara orang ketawa dari rumah sebelah.

Suara ketawa tersebut membuatkan mereka berasa seram dan mengambil keputusan untuk melihat sendiri apa yang berlaku di rumah berkenaan.

Dari situ bermulalah banyak adegan misteri sepanjang mereka berada di rumah penginapan tersebut sebelum seorang demi seorang daripada mereka hilang tidak dapat dikesan. Misteri tersebut yang bakal dirungkai menerusi Hantu Kuat Ketawa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI