fbpx

SWCorp Wilayah Persekutuan gagalkan cubaan lupus sisa binaan di sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sepasukan penguat kuasa berjaya menghentikan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba melupuskan sisa binaan di Sungai Kuyuh, Puchong, Kuala Lumpur semalam.

PUTRAJAYA – Tindakan sebuah lori mahu melupuskan sisa binaan ke dalam sebuah sungai buat kali ketiga berjaya digagalkan apabila diserbu sepasukan penguat kuasa semalam.

Menerusi serbuan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan itu, seorang pemandu berusia 30-an dan sebuah lori telah disita.

Tangkapan itu dilakukan ketika lori berkenaan cuba melupuskan sisa pepejal terkawal (sisa pepejal pembinaan) ke dalam Sungai Kuyuh di Puchongmas, Kuala Lumpur.

Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan, Ummi Kalthum Shuib berkata, ketika ditahan, lori berkenaan cuba melupuskan sisa seberat tiga tan ke dalam sungai berkenaan.

Beliau berkata, pemandu lori berkenaan ditahan untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan, namun akan dipanggil semula bagi membantu siasatan.

“Sebelum ini, kami turut menerima aduan berkenaan aktiviti pelupusan sampah haram itu yang juga tular di laman Twitter sejak minggu lalu.

“Kami juga menerima aduan sama daripada Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Negeri Selangor, Ng Sze Han memandangkan lokasi itu terletak berhampiran sempadan Kuala Lumpur dan Selangor.

“Sejurus terima maklumat, kami terus lakukan risikan dan lori berkenaan berjaya ditahan selepas enam hari intipan dilakukan,” katanya ketika dihuhungi hari ini.

Katanya, soal siasat mendapati, lori berkenaan sudah melupuskan enam tan sisa binaan ke dalam sungai berkenaan sejak seminggu lalu.

Ummi Kalthum berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 71 (1), Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007, (Akta 672) iaitu larangan terhadap pelonggokan, pengolahan, pelupusan, dsb, sisa pepejal terkawal tanpa kebenaran.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, pelaku akan didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI