WALAUPUN namanya jarang diperkatakan dalam kalangan peminat seni suara di negara ini, namun Aweera menggegarkan dunia hiburan selepas mampu bersaing hingga ke pentas akhir pada program realiti nombor satu tanah air, Gegar Vaganza musim kelapan (GV8).
Menyifatkan dirinya underdog pada pertandingan tersebut disebabkan bersaing dengan beberapa nama besar dalam industri hiburan seperti Adibah Noor, Nikki Palikat dan sebagainya, namun bersyukur kerana mampu bertahan hingga ke saat ini.
Menurut pemilik nama sebenar Nasharul Aweera Norhissham itu, sesiapa sahaja mampu dinobatkan gelaran juara GV8 berdasarkan persembahan yang dipamerkan pada malam ini.
———————————————————————————————————————————-
PEMILIK nama lengkap Nasharul Aweera Norhissham tidak menyangka perjalanannya di pentas program realiti nombor satu tanah air, Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) mampu sampai ke gelanggang akhir.
Aweera, 30, merendah diri walaupun diakui ramai memiliki peluang cerah untuk memahat nama sebagai juara GV8 yang berlangsung malam ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
“Sejujurnya, saya tak sangka sampai ke peringkat akhir. Bukan apa, sebab peserta yang bertanding dalam pertandingan ini hebat belaka. Adibah Noor, Nikki Palikat dan semua yang bertanding memiliki kehebatan nyanyian tersendiri.
“Bagaimanapun, alhamdulillah minggu demi minggu, rezeki ternyata menampakkan realiti. Kalau tanya saya, memang saya tak sangka langsung mara sampai peringkat akhir.
“Saya cuma nak memberikan persembahan yang terbaik pada malam ini. Tolong doakan saya dan doakan juga rakan-rakan lain yang bertanding,” katanya pada satu pertemuan bersama Pose baru-baru ini.
Underdog
Saat mula pertandingan, anak ketiga daripada empat adik-beradik itu akur dengan statusnya sebagai peserta underdog.

Saban minggu, dia bagaimanapun semakin bertaring. Aweera memaklumkan, sesiapa sahaja mampu dinobatkan gelaran juara GV8 berdasarkan persembahan yang dipamerkan pada malam ini.
“Saya memang underdog waktu mula pertandingan. Bukan orang sahaja cakap tetapi saya sendiri rasa begitu.
“Pun begitu, pertandingan ini banyak mengajar saya bukan sekadar menjadi seorang penyanyi dan penghibur yang melantunkan vokal tetapi bercerita melalui muzik kepada setiap penonton.
“Minggu lalu (separuh akhir), saya dapat tempat pertama. Ada yang berikan pujian dan pada masa sama, ada juga yang kata, mudah buat saya sebab nyanyi lagu ‘makanan’ sendiri.
“Malam ini, buat pertama kalinya, saya akan menyanyi lagu rap secara battle dengan Aliff Aziz menerusi lagu Bangun (nyanyian asal Aman Ra).
“Jujur saya cakap, saya tak pernah nyanyi lagu rap secara langsung.
“Kalau ada menyanyi pun, mungkin pada waktu sesi karaoke bersama kawan-kawan. Rasa hormat saya buat semua penyanyi rap di dunia.
“Bukan senang nak menyanyi rap, lontarkan lirik satu persatu dengan laju dan ini semua cabaran yang perlu saya tangani bersama rakan-rakan yang bertanding dalam pentas akhir GV8 malam ini,” tuturnya.

‘Kalau memang bonus’
Meluncurkan bicara, pemuzik kelahiran Utan Aji, Perlis itu menambah, sama ada menang atau kalah, itu bukan persoalan pertama yang bermain di benak fikirannya.
Aweera hanya ingin menghadirkan persembahan terbaik malam ini.
“Tekanan memang ada. Orang letak jangkaan terhadap kita untuk menang itu dan ini, namun saya tak mahu fikir semua itu sangat. Saya tahu kemampuan diri saya bagaimana. Saya nak buat yang terbaik.
“Itu janji saya. Menang atau kalah, memang adat pertandingan. Kalau menang, saya anggap bonus dan kalau tidak berjaya genggam trofi juara pun, kerjaya seni harus diteruskan demi para peminat yang tidak berhenti memberi sokongan sejak minggu pertama dan sejak zaman One in a Million (OIAM) lagi,” ujarnya.
Ditebak soalan tentang siapa antara lima finalis bertanding yang ‘menggerunkan’, sekali gus menjadi penghalangnya merebut trofi juara, Aweera tanpa berselindung memetik nama Nikki Palikat.
“Semua finalis memang power. Semua ada kekuatan dan kelebihan. Kak Dib (Adibah), kita tahu dia memang penyanyi yang hebat. Aliff Aziz pun antara peserta kegemaran, tapi satu nama yang saya gerun berdasarkan prestasi setiap minggu, Nikki Palikat.
“Nikki selalu menghadirkan persembahan cemerlang. Kemampuan vokal, permainan emosi dan kebijaksanaannya di atas pentas memang luar biasa. Apapun, it’s anyone’s game (sesiapa pun ada peluang menang),” katanya.

Menjelang penamat GV8, seiring atau tanpa trofi juara, Aweera berjanji tidak mahu lagi tersilap langkah. Dia ingin memberikan yang terbaik demi kelangsungan hidup sebagai penghibur.
“Sebelum ini saya acap menimbulkan masalah, ada masalah disiplin, mungkin tak mesra media dan sebagainya. Bergerak ke hadapan dengan rezeki dan peluang yang diberikan Allah sekarang, saya berharap fokus saya tegak ke hadapan.
“Segala kesilapan sebelum ini memang saya tak boleh ubah tetapi dijadikan sebagai pengajaran dan pedoman. Orang (peminat) dah beri peluang dan dokongan, bodoh kalau saya sia-siakan. Saya janji tak hilang lagi dan jaga disiplin.
“Saya sangat berterima kasih kepada semua yang menyokong. Buat pasukan GV8, para peminat dan sesiapa sahaja yang tidak henti-henti teriak nama saya setiap minggu sampai konsert akhir malam ini.
“Saya berharap agar sokongan akan diteruskan walaupun GV8 dah tamat. Saya cuma boleh berjanji untuk berikan yang terbaik. Doakan saya tidak lupa diri. Itu yang paling penting,” ikhlasnya menutup bicara.
Malam ini, Aweera akan mendendangkan tiga lagu tugasan iaitu secara solo menerusi lagu Beggin’ dendangan asal The Four Seasons, duet bersama Liza Hanim (lagu Sepi dendangan asal Aina Abdul) dan terakhir pusingan battle bersama Aliff Aziz menyanyikan lagu Bangun (dendangan asal Aman Ra).














