fbpx

JPA buka permohonan BYDPA 2022 mulai hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuka peluang kepada warganegara Malaysia yang berminat untuk memohon Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) Tahun 2022.

JPA menerusi satu kenyataan hari ini berkata, BYDPA menawarkan sebanyak 12 biasiswa iaitu enam untuk pengajian di peringkat Sarjana (penyelidikan) dan enam untuk pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di dalam dan luar negara.

Menurutnya, bidang pengajian yang ditawarkan termasuk Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-Undang dan Kewangan Islam.

“Pemohon boleh melengkapkan borang permohonan secara dalam talian melalui portal http://esilav2.jpa.gov.my mulai hari ini.

“Borang permohonan yang lengkap berserta dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan hendaklah dikemukakan dan diterima oleh pihak JPA sebelum atau pada 22 Februari ini sama ada secara serahan tangan atau pos,” katanya.

Katanya, antara syarat-syarat permohonan termasuk permohon mestilah warganegara Malaysia, umur tidak melebihi 35 tahun pada 1 Januari 2022, mempunyai keputusan akademik amat cemerlang di peringkat pengajian dan ijazah sarjana muda yang diiktiraf oleh kerajaan dengan CGPA minimum 3.75 atau kelas pertama.

Syarat lain dikenakan termasuk ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana yang diiktiraf oleh kerajaan dengan CGPA minimum 3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf dengannya bagi calon PhD.

JPA juga menetapkan, pemohon mestilah telah mendapat tawaran tanpa syarat bagi pengajian secara sepenuh masa pada tahun penawaran di institusi pengajian tinggi yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian.

“Pemohon juga telah memulakan pengajian secara sepenuh masa pada tahun penawaran di institusi pengajian tinggi yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian.

“Pengajian bagi peringkat sarjana adalah secara mod penyelidikan sahaja yang mewajibkan penyediaan kertas penyelidikan atau disertasi atau tesis.

“Pemohon juga mesti terlibat dalam penghasilan kerja-kerja kreatif dan inovatif seperti penulisan, reka cipta seni atau teknologi dan sebagainya,” katanya.

Katanya, calon yang memenuhi syarat-syarat permohonan akan disaring lanjut oleh pihak JPA sebelum disenarai pendek untuk menghadiri temu duga.

Untuk maklumat lanjut mengenai penawaran ini, layari portal http://esilav2.jpa.gov.my atau hubungi talian 03-88853879/3569 /3438/3371/3571. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI