IDEA santai Mohd. Saiful Baharom Shah yang mahu menghasilkan lukisan menggunakan kedua-dua belah tangan dan kakinya sebelum dirakam dan dimuat naik di aplikasi TikTok membawa tuah apabila video itu mendapat jumlah tontonan tinggi, seterusnya menjadi tular.
Siapa sangka, lelaki berusia 39 tahun itu miliki kebolehan menggunakan beberapa pancainderanya secara serentak bagi menghasilkan lakaran potret yang mengagumkan.
Bermula dengan menggunakan tangan kanan, tangan kiri, kaki kanan dan kaki kiri, dia kemudian turut menggunakan mulut. Bayangkan, dengan menggunakan anggota-anggota badan tersebut, lelaki itu mampu menghasilkan empat atau lima potret secara serentak.
Meskipun dirinya merupakan individu bertubuh normal, ternyata bakat melukisnya begitu mengagumkan apabila mempunyai kemahiran melukis menggunakan kedua-dua kaki dan mulut.
Empat potret figura yang pernah dihasilkannya secara serentak ialah penyanyi No.1 negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin; penghibur legenda, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad serta dua bintang bola sepak, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.
Lima potret yang pernah dilukisnya serentak ialah pelakon, Imuda; ikon memasak, Cef Wan; bintang badminton, Datuk Lee Chong Wei; penyanyi legenda antarabangsa, Michael Jackson dan pelakon antarabangsa, Mr. Bean.

Menerusi video yang tular, lelaki yang mesra disapa sebagai Saiful itu dilihat mencapai empat batang pen marker yang dipegang dengan dua daripadanya dilekatkan pada celahan ibu-ibu jari kakinya menggunakan pita pelekat.
Lalu, kesemua anggota badan itu digerakkan secara serentak bagi menghasilkan lukisan potret wajah-wajah figura terkenal.
Saiful juga cukup rajin melayan permintaan para pengikutnya di TikTok dan Instagram yang meminta dia melukis potret figura lain kerana begitu kagum dengan bakat seninya.
Menerusi video dimuat naik, gerakan teliti pada masa yang sama kaki, tangan serta adakala mulut Saiful berjaya menghasilkan lukisan wajah, sekali gus menjadikan orang ramai tertanya-tanya apa rahsia di sebalik pergerakan empat atau lebih anggota badan secara serentak ketika melukis.
“Sebenarnya, lukisan seperti yang anda lihat di dalam video TikTok itu dihasilkan dalam masa empat jam memandangkan saya ada berhenti rehat seketika ekoran timbul rasa letih dan putus asa.
“Saya tidak nafikan, melukis menggunakan kesemua anggota secara serentak bukan sesuatu yang mudah, malah selepas satu jam setengah melukis, terdetik di hati saya bahawa apa yang cuba dilakukan itu adalah mengarut,” ujarnya berterus terang kepada K2.

Namun, jejaka kelahiran Johor Bahru, Johor itu tetap menyiapkan lukisannya dan merakamnya dalam bentuk video untuk ditonton oleh pengikut akaun media sosialnya.
Bukan sahaja pergerakannya menarik perhatian, bahkan setiap lukisan figura yang dihasilkan itu turut menjadi.
“Menggunakan kaki semasa melukis sememangnya merupakan satu cabaran besar kerana otot jari kaki mudah berasa penat, seterusnya boleh mengakibatkan lukisan itu tidak menjadi atau tidak kemas.
“Oleh itu, bagi setiap lukisan yang dihasilkan, saya terpaksa berhenti rehat seketika akibat keletihan sebelum boleh menyambung semula lukisan yang dihasilkan,” katanya.
Ditanya tentang inspirasi bagi menghasilkan lukisan itu, Saiful berkata, ia bermula selepas dia menonton beberapa video daripada aplikasi TikTok yang mula disertai pada Januari tahun lalu.
“Saya mewujudkan akaun TikTok pada Januari tahun lalu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua kerana berasa bosan berada di rumah.
“Saya telah menghasilkan video yang menunjukkan gaya saya melukis dengan menggunakan kedua-dua belah kaki kerana jika saya hanya menunjukkan gambar yang sudah siap, nanti orang kata itu bukan dihasilkan oleh saya pula,” katanya berseloroh.

Menurutnya, setiap video yang dirakam juga lazimnya memakan masa panjang, namun disunting dalam format time-lapse bagi memfokuskan hanya pada proses ia dihasilkan.
Saiful berkata, setiap lukisannya dihasilkan secara berperingkat di mana dia akan menyiapkan bahagian wajah yang sama sebelum beralih kepada bahagian yang lain.
“Sebagai contoh, apabila tangan kiri saya melukis bahagian rambut, tangan kanan saya juga akan menghasilkan bahagian yang sama, sebelum beralih kepada bahagian lain seperti mata, hidung, mulut dan sebagainya.
“Ini kerana, saya lebih mudah fokus apabila menghasilkan bahagian yang sama ketika menggunakan kesemua anggota badan secara serentak,” ujarnya.
Tambah guru pendidikan seni di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Tajul Ariffin, Kuala Kangsar, Perak itu lagi, sudah ramai pelukis dari luar negara seperti Vietnam dan benua Afrika yang mempunyai bakat melukis menggunakan kaki dan dia menjadikan pelukis-pelukis itu sebagai inspirasi.
Saiful mula melukis sebagai hobi dan sehingga kini, tidak pernah menjual mana-mana karya yang dihasilkannya.
“Saya menyedari mempunyai bakat melukis dengan menggunakan kaki sejak kecil, namun pada mulanya, saya hanya menganggap lukisan itu sebagai satu hobi dan tidak pernah berniat mahu menjual mana-mana lukisan saya.
“Lukisan yang dihasilkan semuanya akan dimuat naik di laman Instagram @saiful_thaqif untuk dilihat oleh pengikut-pengikut saya,” katanya yang menjelaskan nama ‘Thaqif’ pada Instagram itu diambil daripada nama anak sulungnya.
Lukisan dihasilkan Saiful juga tidak hanya tertumpu kepada potret hitam dan putih. Malah, dia turut menghasilkan lakaran pemandangan.
















