fbpx
Dua suspek ditahan ketika cuba menyeludup 2.3 tan daun ketum ke Thailand pada kelmarin.

Lagi cubaan seludup ketum dalam skala besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PERLIS – Maritim Malaysia (APMM) sekali lagi berjaya menggagalkan cubaan menyeludup daun ketum dalam skala besar apabila merampas 2.3 tan daun tumbuhan tersebut dianggarkan bernilai RM414,000 di perairan negeri ini pada kelmarin.

Rampasan itu merupakan kejayaan kedua terbesar APMM selepas merampas lima tan daun ketum bernilai RM900,000 di perairan Kuala Kedah, Kedah pada 4 Januari lalu.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah memberitahu, pasukan operasi khas mengesan pergerakan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran dari Kuala Kedah menuju ke arah sempadan Thailand kira-kira pukul 7.45 pagi.

Katanya, sebuah aset bersama pasukan operasi Zon Maritim Kuala Perlis kemudian diatur gerak bagi memintas dan menyerbu bot tersebut pada kedudukan 1.5 batu nautika barat pantai Sungai Padang, Perlis.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa yang mengarahkan bot diberhentikan, dua suspek lelaki bertindak menukar haluan dengan berpatah balik ke arah persisiran pantai.

“Mereka kemudian terjun meninggalkan bot serta muatan bagi melarikan diri dengan berenang ke daratan berhampiran, namun gagal apabila kedua-dua suspek berusia 25 dan 40 tahun ditahan anggota penguat kuasa,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan ke atas bot itu menemui 230 bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum dengan anggaran berat 2.3 tan yang disembunyikan di dalam ruang simpanan ikan.

“Pemeriksaan lanjut menemui beg kecil berwarna hitam yang mengandungi dua peket kecil plastik berwarna putih disyaki pil kuda berjumlah 100 biji dianggarkan bernilai RM2,500.

“Kita turut menemui dua peket kecil plastik berwarna putih disyaki syabu seberat 1.72 gram dianggarkan bernilai RM688 dan tiga peket kecil plastik berwarna putih disyaki heroin seberat 1.47 gram dianggarkan bernilai RM 117.60,” ujarnya. – K! ONLINE.

POPULAR