fbpx
DARI segi luarannya, bangunan ini kelihatan masih tersergam utuh dengan halamannya begitu luas.

Pulihara istana lama demi jaga warisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Banyak pihak meminta kerajaan memulihara istana Raja Muda di Teluk Intan dan istana Raja Bendahara terakhir di Jalan Tun Abdul Razak di Kuala Kangsar yang kini dibiarkan kosong memandangkan ia ada nilai sejarah tersendiri.

Terletak bersebelahan Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Masjid Ridzwaniah, Sekolah Kebangsaan Sultan Idris II, Sekolah Menengah Clifford dan Hospital Kuala Kangsar menjadikan ia sebagai warisan sejarah yang sepatutnya dipulihara.

Bagi kebanyakan orang yang sering melalui jalan di sini, rumah agam berwarna kuning air bersebelahan Taman Underwood dan Taman Villa Gahara ini mungkin kelihatan biasa atau menganggapnya sebagai binaan tinggal era kolonial.
—————————————————————————————————————————————————-
Gemerlapan cahaya melimpahi kawasan lapang menjadikan suasana pada malam itu bukan sahaja kelihatan meriah, malah cukup indah apabila turut sama kedengaran alunan muzik yang berkumandang dari corong pembesar suara.

Tetamu yang hadir pula berpakaian sangat cantik dengan sesekali terdengar gelak kecil serta bunyi sudu dan garpu berdentang-denting kala berlaga dengan pinggan seramik saat tetamu menikmati hidangan.

Keramaian di Istana Gahara, Kuala Kangsar, Perak pada malam itu amat istimewa bagi meraikan persandingan mempelai diraja iaitu majlis perkahwinan Tengku Ismail Shah, 22, putera bongsu Yang di-Pertuan Agong ke-2, Tuanku Hisamuddin Alam Shah yang menikah dengan Raja Zahara, 18, puteri Almarhum Raja Bendahara Perak, Raja Abdul Rashid Sultan Idris Shah I.

Raja Zaharah, 18, juga merupakan cucu kepada Almarhum Sultan Perak, Sultan Idris Shah, manakala Tengku Ismail Shah merupakan graduan lulusan Agriculture College di Sussex, England.

Terdahulu, pengantin lelaki dan rombongan dari Selangor yang menjadi tetamu Sultan Perak telah berangkat dari Istana Iskandariah ke Istana Gahara yang letaknya kira-kira tiga kilometer untuk melangsungkan majlis persandingan itu.

RUPA bangunan Istana Gahara, Kuala Kangsar, Perak dari pandangan udara.

Sebaik tiba di Istana Gahara iaitu rumah keluarga pengantin perempuan, tembakan lima das meriam pun dilepaskan.

Kedua-dua pasangan pengantin bersanding di atas pelamin yang indah disaksikan kira-kira 1,200 tetamu termasuklah kaum kerabat diraja dan pegawai-pegawai kerajaan, manakala majlis jamuan teh pula diadakan di pekarangan istana.

Begitulah gambaran penulis mengenai keindahan majlis resepsi pasangan diraja itu berdasarkan berita keratan akhbar tempatan bertarikh 11 Jun 1960 yang menceritakan tentang peristiwa bersejarah tersebut.

Ironinya pula, majlis perkahwinan ini merupakan majlis keramaian terakhir dilangsungkan di Istana Gahara apabila fungsinya tidak lagi sebagai sebuah istana rasmi, sebaliknya sekadar kediaman rasmi waris diraja.

Sebagaimana kisah Istana Raja Muda di Teluk Intan, Istana Raja Bendahara terakhir di Jalan Tun Abdul Razak di Kuala Kangsar kini ditinggalkan kosong, cuma persekitarannya agak terjaga kerana masih dipelihara para waris.

Bagi kebanyakan orang yang sering melalui jalan di sini, rumah agam berwarna kuning air bersebelahan Taman Underwood dan Taman Villa Gahara ini mungkin kelihatan biasa atau menganggapnya sebagai binaan tinggal era kolonial.

Istana yang asalnya dikenali sebagai Istana Gahara ini dipercayai dibina pada tahun 1914 dan merupakan kediaman rasmi Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Raja Bendahara Abdul Rashid Sultan Idris Shah I, iaitu Raja Bendahara Perak terakhir (1948-1953) sebelum gelaran ini dimansuhkan pada tahun 1953.

Bangunan ini seterusnya didiami kerabat keluarga Almarhum sehingga tahun 1990-an sebelum ditinggalkan.

RAJA Bendahara Perak terakhir ialah Raja Abdul Rashid (tiga dari kanan).–SEMBANGKUALA

Kedudukannya dalam lingkungan bandar Kuala Kangsar iaitu bersebelahan Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Masjid Ridzwaniah, Sekolah Kebangsaan Sultan Idris II, Sekolah Menengah Clifford dan Hospital Kuala Kangsar menjadikan ia sebagai warisan sejarah yang sepatutnya dipulihara.

Penduduk Kuala Kangsar, Mohamad Yusri Abdullah, 44, berkata, sejak kecil sehingga dewasa, dia sangat terpesona melihat rumah agam tersebut kerana bentuknya yang kukuh dengan menara pada bahagian atas yang kelihatan seperti istana Inggeris.

“Semasa bersekolah dahulu laluan di sini merupakan jalan ulang-alik saya pergi dan balik rumah. Apabila melintas hadapan rumah agam ini memang rasa sangat teruja dan rasa hendak masuk, cuma takut.

“Ketika itu rumah agam atau istana ini masih didiami sebelum ditinggalkan kosong beberapa ketika. Bagaimanapun, kadang-kadang ada banyak kereta diletak dekat halaman yang luas menunjukkan ia masih dikunjungi semasa itu,” ujarnya.

Memperincikan tentang gelaran Raja Bendahara, menurut Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee, ia merupakan salah satu jawatan penting dan kedua tertinggi dalam sistem pewarisan takhta Kesultanan Perak sejak tahun 1770.

Jelas beliau, Raja Bendahara biasanya akan bertindak sebagai wakil dan bakal Raja Muda, penjaga adat Melayu dan persantapannya (sumber kekayaan atau pendapatan) daripada hasil cukai Batang Kuala Kinta.

Kata Hisham yang banyak mengkaji tentang sejarah kesultanan Perak, pada tahun 1953, gelaran ini dimansuhkan bagi mewujudkan semula gelaran Orang Kaya-Kaya Seri Maharaja.

“Hanya tinggal Istana Raja Bendahara terakhir di Kuala Kangsar ini yang menjadi bukti kedaulatan gelaran Raja Bendahara Perak pada hari ini.

“Bagaimanapun, berbanding Istana Raja Muda di Teluk Intan, kawasan persekitaran Istana Gahara ini masih terjaga kerana difahamkan tanah ini milik waris keluarga.

“Status ini mungkin timbul sedikit kesukaran untuk mendapatkan bantuan baik pulih daripada kerajaan negeri tapi demi memulihara sejarah negeri Perak sepatutnya ada jalan untuk memudahkan perkara tersebut,” ujarnya kepada Panorama.


SALAH satu elemen seni bina yang boleh disaksikan di istana ini.

Menurutnya, istana ini dibahagikan kepada empat komponen iaitu bahagian hadapan, bahagian utama, bahagian belakang dan dapur.

Bahagian dapurnya berbentuk rumah Melayu tradisional Perak yang bersambung dengan istana, malangnya tidak boleh dimasuki kerana tangganya telah runtuh.

Terdapat juga satu deretan bangunan empat bilik kecil dipercayai kediaman petugas istana.
Kata Nor Hisham, sesuai dengan status Kuala Kangsar sebagai bandar diraja, maka seeloknya Istana Gahara dipulihara semula dan jika diberi keizinan dijadikan sebagai galeri yang memaparkan susur-galur sejarah Raja Bendahara Perak.

“Kedudukan istana ini memudahkan ia untuk dikunjungi. Walaupun pada pandangan mata kasar banyak yang perlu dibaiki kerana ada bahagian dalaman bangunan yang telah rosak akibat faktor cuaca tetapi jika melihat pada faktor sejarah, ia sangat tidak ternilai.

“Istana Gahara ini merupakan warisan sejarah Kuala Kangsar yang wajar diketengahkan. Semoga istana ini dapat dipulihara sebaiknya dan diberikan nafas baharu,” ujar beliau.


ANTARA bahagian di ruang dalam Istana Gahara yang kelihatan besar dan luas.

Selain di Kuala Kangsar, terdapat sebuah lagi Istana Raja Bendahara iaitu di Jalan Bendahara, Ipoh yang dibina pada tahun 1919 serta pernah menjadi tempat persemayaman kepada DYAM Raja Bendahara Yusuf dan DYAM Raja Bendahara Idris.

Ekoran pemansuhan gelaran Raja Bendahara pada tahun 1953, istana berkenaan kemudian dijadikan sebagai Istana Raja Di Hilir.

Pada tahun 1972, istana ini diambil alih oleh kerajaan negeri sebagai Pejabat Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak sehingga bangunan itu dirobohkan pada tahun 1990.

Kini, tapak Istana Raja Bendahara di Ipoh telah dibina rumah kedai di mana lokasinya dikekalkan dengan nama Jalan Bendahara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN